KUCHING: Usaha Kerajaan Sarawak dalam mempromosikan sektor pelancongan menyaksikan kejayaan ketara dari Januari hingga Mac, apabila merekodkan lebih sejuta pelancong di negeri ini.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Dennis Ngau berkata, untuk April hingga Disember, salah satu acara yang paling dinanti-nantikan adalah Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2024 yang dijadualkan pada akhir Jun.
“Dengan penampilan utama daripada pemenang Anugerah Grammy dan Golden Globe dari Jepun, Kitaro di RWMF tahun ini, permintaan tiket agak tinggi.
“Saya agak terkejut kerana ramai yang bertanyakan ketersediaan tiket, terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur 40-an dan 50-an kerana mereka tahu ini akan menjadi lawatan terakhir Kitaro.
“Justeru, jualan tiket sudah melebihi jangkaan sejak kami melancarkannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), pada malam Sabtu.
Sementara itu kata Dennis, sebagai persiapan RMWF, kerjakerja menaik taraf infrastruktur di atas pentas termasuk membina tandas baharu sedang giat dijalankan di tempat itu bagi menampung jangkaan kemasukan pengunjung.
Sebelum festival itu katanya, forum belia berkaitan kelestarian, yang memberi tumpuan kepada tenaga hijau dan teknologi juga diadakan.
“Forum ini sama ada berlangsung sebelum atau semasa RWMF. Ia bertujuan menarik lebih 1,500 pelajar universiti dari seluruh Asia untuk menghadiri forum di Kuching,” katanya
. Sementara itu, ketibaan pelawat Sarawak merekodkan 1.2 juta bagi tiga bulan pertama tahun ini, manakala perolehan pelancongan berjumlah RM3.07 bilion



