KUCHING: Sarawak mempunyai tanah yang luas, sumber air mencukupi serta potensi besar untuk muncul sebagai hab pengeluaran makanan utama di rantau ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, namun pembangunan industri padi di negeri ini masih berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Menurutnya, ini termasuklah kekurangan penyelarasan, tahap produktiviti yang rendah, penggunaan teknologi moden yang masih terhad, kekangan pelaburan serta masalah pemasaran.
“Dengan adanya kewujudan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak, 2026, saya percaya segala usaha pembangunan industri padi dapat disusun dengan lebih sistematik, terselaras dan efektif.
“Paling penting, lembaga ini juga memberi ruang kepada Sarawak untuk membentuk dasar dan pendekatan lebih sesuai dengan realiti serta cabaran unik wilayah kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU tersebut pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, penekanan aspek penyelidikan dan inovasi dalam RUU ini adalah elemen paling penting untuk memastikan industri padi Sarawak berkembang secara lestari dan berdaya saing.
Jelasnya, Sarawak perlu memberi fokus kepada pembangunan varieti padi tempatan yang tahan cuaca ekstrem, tahan kesan bencana, mempunyai hasil tinggi serta sesuai dengan tanah Sarawak termasuk kawasan tanah gambut.
Sehubungan itu, Royston turut berharap agar lembaga ini membuka ruang kepada pelibatan golongan muda dalam sektor pertanian.
“Hari ini, masih ramai anak muda yang melihat pertanian sebagai sektor lama dan kurang menarik tanpa menyedari hakikat bahawa sektor ini mempunyai potensi ekonomi besar apabila bergabung dengan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), dron, automasi dan inovasi moden.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan tani Sarawak yang bukan sahaja meningkatkan pengeluaran makanan, malah menjadi pencipta teknologi, usahawan moden dan pemain industri agro bertaraf antarabangsa,” katanya lagi,
Tambahnya, jika Sarawak berjaya memperkukuh industri padi dan beras secara lestari, negeri ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada import sekali gus berpotensi menjadi pengeluar makanan penting di rantau ASEAN pada masa hadapan.


