ARTIKEL

Ong Kim Swee ketika ditemui selepas Program Inisiatif Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi PETRONAS Youth Football Closed Tournament di Kuching, semalam.

Sarawak berpotensi lahir lebih ramai bakat bola sepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program pembangunan yang sedang dirancang Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) diyakini mampu menjadikan Sarawak sebagai antara pengeluar bakat utama bola sepak negara dalam tempoh dua dekad akan datang.

Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee berkata, pembangunan bola sepak memerlukan perancangan jangka panjang dan kesabaran, namun hasilnya akan dapat dilihat sekiranya dilaksanakan secara konsisten.

“Sekiranya FAS bermula dari sekarang, mungkin dalam tempoh 10 atau 15 tahun kita belum nampak hasilnya. Namun dalam tempoh 20 tahun akan datang, pembangunan ini pasti akan membuahkan hasil kerana pembangunan bola sepak sememangnya memerlukan masa.

“Saya percaya dengan program pembangunan yang bakal bermula di FAS, Sarawak akan menjadi negeri utama yang menyumbang bakat-bakat besar kepada landskap bola sepak Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Program Inisiatif Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi PETRONAS Youth Football Closed Tournament (PYFCT) di sini, semalam.

Sebagai perbandingan, Ong mengimbau kisah penjaga gol Cape Verde yang hanya berpeluang beraksi di Piala Dunia pada usia 40 tahun sebagai bukti bahawa kejayaan dalam bola sepak memerlukan kesabaran, perancangan dan pembangunan yang berterusan.

Menurut bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu, keyakinan tersebut lahir selepas melihat kesungguhan Presiden FAS yang juga Presiden Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman dalam merancang pembangunan bola sepak negeri.

Katanya, sepanjang bertemu presiden persatuan bola sepak dan kelab di Malaysia serta Indonesia, beliau melihat Fazzrudin sebagai seorang pemimpin yang sangat teliti dan memahami setiap aspek pengurusan serta teknikal pasukan.

“Saya baru mengenali Fazzrudin awal tahun ini. Kami banyak berbincang mengenai bola sepak dan saya dapati beliau mengetahui setiap perincian daripada A hingga Z, bukan sahaja daripada aspek pengurusan tetapi juga mengenai pasukan.

“Perkara yang paling mengagumkan ialah apabila kami berbincang mengenai beberapa pemain Kuching City FC. Saya mengemukakan beberapa pandangan, namun beliau menegaskan perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan ketua jurulatih kerana kita perlu menghormati bidang tugas masing-masing,” katanya.

Ong berkata, pendekatan sedemikian mencerminkan kepimpinan yang profesional kerana setiap keputusan teknikal diserahkan kepada individu yang bertanggungjawab terhadap pasukan.

Beliau turut memuji perancangan FAS untuk meningkatkan kemudahan asas bola sepak di seluruh Sarawak, termasuk cadangan menyediakan dua padang latihan dan sebuah bangunan pentadbiran di setiap bahagian.

“Jika perancangan ini berjaya direalisasikan, Sarawak akan menjadi negeri pertama yang mempunyai kemudahan padang sendiri di setiap daerah. Saya amat berharap perkara ini menjadi kenyataan kerana kemudahan merupakan asas penting dalam pembangunan bola sepak,” katanya.

Menurut beliau, cabaran membangunkan bola sepak di Sarawak tidak mudah memandangkan negeri ini mempunyai kawasan yang luas seperti Sabah, namun usaha menyediakan infrastruktur yang mencukupi akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat di semua peringkat.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road