KUCHING: Sarawak sedang melangkah ke Era Elektrik yang merupakan peralihan penting. Ia menyaksikan keupayaan grid, teknologi penyimpanan, tenaga solar dan kecekapan tenaga menjadi penentu utama daya saing serta kemakmuran masa hadapan negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pilihan Sarawak dalam pelan hala tuju gas, strategi tenaga bersih, ekonomi hidrogen, pelaburan grid dan solar, serta kemajuan dalam mikroelektronik bukan berlaku secara kebetulan.
“Semua ini adalah langkah yang dirancang dengan teliti sebagai respons kepada realiti global, agar anak Sarawak dapat hidup di bawah sebuah masa depan yang bukan sahaja makmur tetapi juga selamat, lestari dan dihormati dunia,” katanya semasa ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, di lapangan, Sarawak telah melepasi sasaran tenaga boleh diperbaharui 2030 dalam campuran penjanaannya, dipacu terutamanya oleh kuasa hidro. Pelepasan karbon grid negeri ini juga telah menurun dengan ketara berbanding sedekad lalu.
“Pada 2025, Sarawak Energy Berhad turut menyiapkan beberapa projek transmisi utama, termasuk pautan Grid Utara baharu ke Lawas dan Sabah sekali gus memperkukuh kebolehpercayaan bekalan untuk rakyat serta membuka laluan kepada eksport tenaga rentas sempadan,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, Sarawak juga telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) untuk projek sambungan kabel bawah laut Sarawak–Singapura yang juga satu langkah penting ke arah Grid Kuasa ASEAN dan aspirasi untuk menjadi kuasa hijau serantau.
Katanya, tenaga akan menjadi pemangkin negeri ini dan sektor industri serta pengangkutan akan melalui proses penyahkarbonan secara menyeluruh.
“Kita akan menghapuskan aktiviti ‘routine flaring’ menjelang 2030, memperluas elektrifikasi operasi serta melaksanakan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) secara besar-besaran di hab industri utama menjelang 2035.
“Melangkah ke hadapan, skala peralihan tenaga kita adalah besar, begitu juga keperluan pelaburannya.
“Kita akan mengurusnya dengan disiplin, bekerjasama dengan sektor swasta dan institusi antarabangsa untuk memastikan setiap projek dilaksanakan secara berdaya saing dan memberi manfaat sosial yang nyata,” jelasnya.


