KUCHING: Kelancaran pergerakan rentas sempadan untuk rakyat Sarawak dan Brunei Darussalam menjadi antara perkara yang dibincangkan apabila kedua-dua pihak bersetuju memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pengangkutan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata kerjasama lebih erat dalam bidang penerbangan, maritim, pembangunan pelabuhan dan pelancongan dapat membuka peluang baharu kepada kedua-dua ekonomi.
“Terdapat rakyat kita yang menyeberangi sempadan, ia sebahagian daripada kehidupan harian sama ada untuk bekerja, menuntut ilmu, menziarahi keluarga dan sahabat atau melancong.
“Justeru, adalah penting untuk kita terus meningkatkan kesalinghubungan, memperbaiki kecekapan di pos sempadan serta memperluaskan kerjasama dalam bidang pengangkutan, logistik dan penerbangan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, dengan kemajuan nyata, beliau yakin kedua-dua pihak boleh mencapai tahap kecekapan sempadan setanding Johor Bahru–Singapura atau lebih baik lagi.
Katanya, masih banyak potensi untuk Sarawak dan Brunei Darussalam memperluaskan kerjasama dalam sektor penerbangan, maritim, pengangkutan darat, logistik dan pelancongan.
“Ini adalah pemacu pertumbuhan penting yang boleh membuka peluang baharu untuk rakyat dan perniagaan antara Brunei dan Sarawak serta memperkukuhkan kesalinghubungan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau bersama delegasinya berada di Brunei Darussalam dari 25 hingga 26 Ogos bagi lawatan rasmi selama dua hari.
Kemuncak lawatan adalah kunjungan hormat ke atas Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) Brunei Darussalam, Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Pengiran Dato Paduka Mustapha, sebelum meneruskan mesyuarat dua hala yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap MTIC, Yang Mulia Ir. Mohammad Nazri Mohammad Yusof, dan Lee sendiri.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan ketua jabatan serta pegawai kanan dari Brunei Darussalam dan Malaysia.
Perbincangan tertumpu kepada perkongsian maklumat dan pengukuhan kerjasama dalam aspek kesalinghubungan darat, maritim dan penerbangan.
Brunei Darussalam berkongsi Rancangan Induk Ekonomi mereka, termasuk langkah meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan melalui pendigitalan proses.
Brunei turut mengetengahkan beberapa program dan projek yang sedang dilaksanakan, antaranya Minggu Maritim Brunei Darussalam 2025 (29 September – 2 Oktober) serta keperluan keselamatan dan operasi Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (SOAS).
Delegasi Sarawak pula menekankan beberapa pembangunan yang sedang berjalan dan dalam perancangan, termasuk projek kesalinghubungan jalan raya, penaiktarafan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh di Miri, Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), AirBorneo, Kajian Kebolehlaksanaan Kereta Api TransBorneo di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, serta perancangan awal bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu dengan kapasiti tahunan 15 juta penumpang.
Antara isu utama yang dibincangkan termasuk penambahbaikan pos sempadan ICQS di Sungai Tujoh, Miri, Limbang dan Lawas, pendigitalan permohonan permit, penyelarasan peraturan kenderaan, kemudahan proses rentas sempadan, lanjutan waktu operasi ICQS serta prosedur pengangkutan rentas sempadan ketika kecemasan, termasuk pendaratan kecemasan pesawat.
Mesyuarat berakhir dengan positif apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Dua Hala ini secara tahunan, bergilir antara Brunei Darussalam dengan Sarawak.
Beberapa pemain industri turut terlibat bersama delegasi Sarawak termasuk Royal Brunei Airlines, Gallop Air, Warisan Shipping Line dan Muara Port Company Sdn Bhd bagi berkongsi pandangan dan meneroka peluang kerjasama.
Delegasi itu juga melawat Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) untuk mendapatkan perkembangan mengenai program yang sedang dan bakal dilaksanakan bagi memperkukuh kehadiran Sarawak dalam perdagangan, pelaburan dan pelancongan di Brunei Darussalam.

