ARTIKEL

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemu bual media.

Sarawak Catat 3.16 Juta Ketibaan Pelawat Januari-Ogos

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak merekodkan 3.16 juta ketibaan pelawat bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, susut hanya 1.41 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak merekodkan 3,160,448 ketibaan pelawat dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 3,205,519 pada tempoh sama 2025.

Pun begitu, jumlah ketibaan pelawat menunjukkan peningkatan pada Ogos dengan 439,968 orang berbanding 413,018 orang pada bulan sama tahun lalu.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 6.53 peratus.

“Walaupun pada Jun dan Julai terdapat sedikit pengurangan, ia tidaklah terlalu jauh,” katanya ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan Majlis Malam Apresiasi 2026 Jabatan Muzium Sarawak di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Abdul Karim berkata, jumlah pelawat asing yang berkunjung ke Sarawak pada Ogos turut meningkat kepada 275,800 orang berbanding 244,903 orang pada bulan sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan jumlah pelawat turut menyumbang kepada peningkatan resit pelancongan Sarawak pada Ogos.

“Resit pelancongan pada Ogos 2026 adalah sebanyak RM1.137 bilion berbanding RM1.059 bilion pada Ogos 2025,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, beliau menjangkakan jumlah ketibaan pelawat ke Sarawak akan terus meningkat menjelang akhir tahun susulan pelbagai program pelancongan yang dijadualkan berlangsung.

Beliau berkata, walaupun sasaran lima juta pelawat mungkin sukar dicapai, jumlah keseluruhan ketibaan pelawat dijangka masih berada pada lingkungan lebih empat juta orang.

Abdul Karim berkata, perkembangan situasi di Timur Tengah serta gangguan penerbangan antarabangsa menjadi antara faktor yang boleh mempengaruhi jumlah ketibaan pelawat ke Sarawak.

Beliau turut mengakui keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini berpotensi memberi kesan ke atas keputusan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah pengunjung ke Muzium Budaya Borneo mencatatkan 263,000 orang bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU