ARTIKEL

Fatimah bercakap pada Majlis Penangguhan Program Wacana Bestari: ‘Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber’, di Kuching, hari ini. | Foto: GHAZALI BUJANG

Sarawak catat 5,875 kes jenayah siber dengan kerugian RM233.48 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 5,875 kes jenayah siber dengan jumlah kerugian RM233.48 juta bagi tempoh 2024 hingga April 2026, dengan Kuching mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM45.77 juta membabitkan 782 kes, diikuti Miri RM33.13 juta (766 kes) dan Sibu RM20.40 juta (721 kes).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, tiga kawasan berkenaan sahaja merekodkan jumlah kerugian kira-kira RM99.30 juta, menunjukkan ancaman penipuan dalam talian terhadap masyarakat.

Fatimah bercakap pada Majlis Penangguhan Program Wacana Bestari: ‘Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber’, di Kuching, hari ini. | Foto: GHAZALI BUJANG

“Statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak ini menunjukkan jenayah siber semakin memberi kesan besar, terutama di kawasan yang mempunyai aktiviti ekonomi serta penggunaan digital yang tinggi.

“Ini jelas menunjukkan bahawa usaha pencegahan, pendidikan dan peningkatan literasi keselamatan digital perlu terus diperkukuh,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Wacana Bestari: ‘Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber’, di sini, hari ini.

Fatimah merakam kenangan bersama-sama peserta Majlis Penangguhan Program Wacana Bestari: ‘Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber’, di Kuching, hari ini. | Foto: GHAZALI BUJANG

Menurutnya, jumlah kes meningkat daripada 1,957 kes dengan kerugian RM76.71 juta pada 2024 kepada 2,662 kes dengan kerugian RM109.17 juta pada 2025.

“Peningkatan itu masing-masing sebanyak 36.1 peratus bagi jumlah kes dan 42.3 peratus bagi nilai kerugian dalam tempoh setahun,” ujarnya

Fatimah merakam kenangan bersama-sama peserta Majlis Penangguhan Program Wacana Bestari: ‘Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber’, di Kuching, hari ini. | Foto: GHAZALI BUJANG

Dalam pada itu katanya, penipuan e-dagang merupakan antara kategori paling kerap dilaporkan dengan 1,612 kes.

“Namun penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan nilai kerugian jauh lebih tinggi, iaitu sekitar RM132.9 juta atau kira-kira 57 peratus daripada keseluruhan kerugian.

“Masyarakat perlu lebih berhati-hati dengan tawaran yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat serta tidak membuat keputusan kewangan hanya kerana terpengaruh dengan janji keuntungan tinggi.

“Ancaman ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira lokasi, umur atau latar belakang dan kesannya turut menjejaskan emosi, keyakinan, hubungan kekeluargaan dan kesejahteraan seseorang,” tegasnya.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak mahu masyarakat bukan sahaja menikmati manfaat dan merebut peluang ekonomi digital, tetapi turut mempunyai pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk menggunakan teknologi secara selamat, bijak dan bertanggungjawab.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS), Riziandy Nawawi berkata, program selama dua hari ini bertujuan membina masyarakat yang mempunyai literasi keselamatan digital bagi menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.

Beliau berharap lebih 160 peserta yang menyertai dapat menyebarkan pengetahuan diperoleh kepada keluarga, rakan sekerja dan komuniti masing-masing bagi mewujudkan kesan berganda dalam usaha meningkatkan keselamatan digital masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU