PUTRAJAYA: Sarawak terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam sektor perdagangan luar negeri apabila mencatatkan jumlah dagangan bernilai RM198.7 bilion bagi tahun 2024, meningkat 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Lebihan dagangan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 4.2 peratus kepada RM71.1 bilion, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi negeri ini dalam persekitaran global yang mencabar.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, pertumbuhan ini disumbangkan kenaikan harga komoditi utama seperti minyak sawit mentah serta permintaan global yang kukuh terhadap eksport utama Sarawak seperti minyak sawit, gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.
“Eksport Sarawak melonjak 3.1 peratus kepada RM134.9 bilion manakala import turut meningkat 1.9 peratus kepada RM63.8 bilion pada 2024,” katanya dalam satu kenyataan bersempena penerbitan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sarawak bagi Tahun Rujukan 2024.
Jepun dan China kekal sebagai dua destinasi eksport utama Sarawak, mewakili 35.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negeri dengan nilai keseluruhan RM47.3 bilion.
“Eksport ke Jepun berjumlah RM29.1 bilion, meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun dengan LNG sebagai produk eksport utama bernilai RM25.4 bilion.
“Manakala eksport ke China pula mencatat RM18.2 bilion, menurun 1.7 peratus berbanding 2023 dengan produk eksport utama ke China termasuk LNG (RM13.5 bilion), keluaran logam (RM1.1 bilion) dan produk berasaskan sawit (RM0.9 bilion),” ujar kenyataan.
Negara-negara ASEAN turut menyumbang sebanyak RM16.9 bilion atau 12.5 peratus daripada eksport Sarawak meskipun mengalami penurunan 2.8 peratus.
“Thailand merupakan pasaran utama dengan sumbangan RM6.7 bilion, diikuti Brunei (RM2.9 bilion) dan Vietnam (RM2.8 bilion).
“Penurunan eksport dalam rantau ini dipengaruhi pengurangan ketara dalam eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), petroleum mentah dan kayu gergaji,” jelas kenyataan.
Sementara itu, sektor perlombongan terus menjadi penyumbang utama eksport negeri dengan nilai RM79.0 bilion atau 58.5 peratus daripada keseluruhan eksport.
“Pertumbuhan sektor ini sebanyak 2.7 peratus didorong oleh peningkatan eksport LNG (+RM2.0 bilion) serta kondensat dan minyak petroleum lain (+RM0.9 bilion).
“Sektor pembuatan pula mencatatkan eksport bernilai RM35.4 bilion, menurun 1.4 peratus manakala sektor pertanian meningkat ketara sebanyak 14.1 peratus kepada RM20.0 bilion. Eksport minyak kelapa sawit dan produk berasaskan sawit menjadi penyumbang utama dengan nilai RM18.7 bilion,” ujar kenyataan lagi.
Dalam pada itu, daripada jumlah import RM63.8 bilion, barangan perantaraan merupakan komponen utama dengan nilai RM32 bilion walaupun mengalami penurunan sebanyak 2.8 peratus.
Sebaliknya, import barangan penggunaan melonjak 16.4 peratus kepada RM13.2 bilion, manakala barangan modal mencatatkan peningkatan marginal 0.2 peratus kepada RM8.7 bilion.
Menjelas lanjut, mengikut pengiraan perdagangan antarabangsa yang tidak mengambil kira hubungan dagangan dengan Semenanjung Malaysia dan Sabah, nilai dagangan bersih Sarawak bagi 2024 ialah RM146.7 bilion meningkat 2.6 peratus berbanding RM143.0 bilion pada 2023.
Jumlah ini merangkumi eksport sebanyak RM116.6 bilion (+3.9%) dan import RM30.1 bilion (-2.0%).
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia kini menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25, mengatasi 198 negara lain yang menjadi lonjakan besar daripada kedudukan ke-67 dalam edisi terdahulu.
Malaysia juga akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) sebagai sebahagian peranan dalam Kepengerusian ASEAN 2025.
Sebagai inisiatif memperkasa kesedaran statistik, 20 Oktober telah diisytihar sebagai Hari Statistik Negara dan Hari Statistik Dunia Keempat turut disambut pada tarikh sama dengan tema “Menerajui Perubahan dengan Statistik dan Data Berkualiti untuk Semua”
Platform OpenDOSM NextGen turut disediakan untuk membolehkan orang awam mengakses pelbagai data dan visualisasi interaktif melalui portal https://open.dosm.gov.my.


