SARIKEI: Prestasi ekonomi dan kewangan Sarawak bagi enam bulan pertama tahun ini menunjukkan petanda yang amat memberangsangkan, sekali gus mengukuhkan keyakinan kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat di bawah fasa kedua Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, laporan yang diterimanya setakat Jun lalu menunjukkan pencapaian positif, walaupun angka sebenar belum boleh didedahkan sebelum pembentangan belanjawan akan datang.

Menurutnya, laporan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan, namun angka sebenar hanya akan diumumkan semasa belanjawan nanti.
Katanya, petunjuk semasa turut memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam Sarawak lebih awal, meskipun Belanjawan Sarawak 2027 belum dibentangkan.
Beliau berkata, pengumuman lebih awal itu dibuat berdasarkan petunjuk yang ada dan pendapatan negeri pada tahun ini dijangka membolehkan kerajaan berbuat demikian.
Tambahnya, kejayaan yang dicapai hari ini merupakan hasil pelaksanaan fasa pertama PCDS 2030 dari tahun 2020 hingga 2025 yang menyaksikan hasil negeri meningkat hampir dua kali ganda daripada sekitar RM7 bilion kepada lebih RM14 bilion.
Kedudukan kewangan yang lebih kukuh membolehkan Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi termasuk pendidikan tinggi percuma, pembangunan infrastruktur serta peningkatan elaun ketua masyarakat dan kaunselor.
Dalam pada itu, katanya, tahun 2026 menandakan permulaan fasa kedua PCDS 2030 dengan fokus diberikan kepada transformasi ekonomi berasaskan teknologi, pendigitalan, pertanian pintar dan industri masa hadapan.
Menurutnya, Sarawak sedang bergerak ke arah ekonomi yang dipacu teknologi dengan penekanan diberikan kepada bidang digital, teknologi satelit, pertanian moden dan sektor ekonomi baharu yang mampu menjana pendapatan lebih tinggi kepada negeri.
Beliau menegaskan agenda pembangunan Sarawak tidak akan terhenti pada tahun 2030, sebaliknya akan diteruskan melalui pelaburan berterusan dalam infrastruktur, pendidikan, teknologi dan sektor ekonomi baharu bagi memastikan negeri ini kekal berdaya saing serta mencapai status wilayah maju berpendapatan tinggi.
Untuk rekod, pada 2016 hasil negeri berjumlah RM5.91 bilion sebelum meningkat kepada RM6.86 bilion pada 2017, RM7.20 bilion pada 2018 dan RM7.27 bilion pada 2019.
Tahun 2020 menyaksikan lonjakan besar kepada RM10.65 bilion hasil peningkatan pendapatan daripada sektor sumber asli dan langkah penjanaan hasil baharu oleh kerajaan negeri.
Walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19, Sarawak masih mencatat hasil RM7.60 bilion pada 2021 sebelum kembali melonjak kepada RM11.91 bilion pada 2022, RM13.31 bilion pada 2023 dan mencapai rekod tertinggi RM14.19 bilion pada 2024.


