MIRI: Sarawak menjadi contoh cemerlang bagi perpaduan dan kestabilan negara dalam mewujudkan persekitaran yang harmoni serta membolehkan pembangunan dilaksanakan dengan lancar.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau berasa bangga terhadap ikatan komuniti yang begitu kuat di negeri ini.
“Di Sarawak khasnya di Miri, sebuah kawasan di pinggir bandar iaitu Lutong menjadi lambang keharmonian antara agama, dengan gereja dan masjid berdiri bersebelahan.
“Hubungan unik antara jemaah masjid dan umat gereja di Lutong terbukti apabila kedua-dua komuniti saling menyokong dengan cara yang sangat praktikal.
“Pada Jumaat, apabila masjid penuh dan tempat letak kereta terhad, gereja membuka kawasannya untuk orang Islam meletakkan kenderan.
Manakala pada Ahad, apabila komuniti Kristian ke gereja, masjid pula membalas budi dengan menawarkan tempat letak kereta mereka,” katanya.
Jelasnya, fahaman sedemikian yang berasaskan rasa hormat dan kerjasama bukan sahaja berlaku di Lutong, malah ia merupakan amalan biasa di seluruh Sarawak.
“Tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang, rakyat Sarawak hidup dalam suasana harmoni, menyumbang kepada kestabilan negeri.
“Perpaduan di Sarawak telah menjadikannya sebuah negeri stabil bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar.
“Kita dapat melihat bagaimana pemimpin-pemimpin kita bekerjasama tanpa mengira latar belakang kerana matlamat utama kita adalah untuk membangunkan masyarakat dan negeri,” ujarnya.


