KUCHING: Sarawak merupakan contoh terbaik bagaimana masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya mampu hidup dalam suasana yang aman, saling menghormati serta bekerjasama demi kemajuan negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, nilai toleransi yang tinggi telah sekian lama menjadi identiti dan kekuatan masyarakat Sarawak.
“Namun, perlu ditegaskan bahawa toleransi yang kita amalkan bukanlah bererti menggadaikan prinsip atau mengkompromikan asas akidah Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara, Sarawak Maju Makmur 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
“Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil, menghormati hak orang lain serta hidup secara damai bersama-sama masyarakat yang berbeza agama.
“Pada masa yang sama, umat Islam tetap dituntut untuk berpegang teguh kepada akidah, syariat dan nilai-nilai Islam. Kita menghormati kepelbagaian, namun tidak sekali-kali mengorbankan prinsip.
“Kita meraikan keharmonian, namun tidak sesekali berkompromi dalam soal akidah. Inilah keseimbangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan menjadi asas kepada kehidupan masyarakat Islam di Nusantara sejak dahulu hingga kini,” tambah Fadillah.

