KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak menetapkan isu penuaan sebagai perkara yang akan diberi perhatian dalam 13 isu utama sosial di negeri ini.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata usaha itu sebagai persediaan awal memandangkan Sarawak dijangka akan menjadi negeri tua menjelang 2028.
“Sarawak akan menjadi antara negeri yang paling cepat menua berbanding negeri-negeri lain.
“Pada 2028, dari segi populasi warga emas mencatat kepada 15 peratus, dan pada masa kini ialah kira-kira 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Warga Emas: Merungkai Penyakit Demensia di Kuching Community Social Support Centre (CSSC) di sini hari ini.
Menurut Fatimah, kesan utama daripada demensia yang dikenal pasti setakat ini mempengaruhi warga tua ialah penyakit lupa.
Manakala, kategori kedua ialah kekeliruan dan kemurungan diikuti kurang pengetahuan tentang penyakit demensia sehingga terlambat untuk mendapatkan rawatan.
Tentang program pemerkasaan warga emas, Fatimah berkata perkongsian yang diberikan oleh para penceramah diharap dapat memperkasakan pengetahuan masyarakat tentang gejala demensia.
Kira-kira 50 peserta, yang terdiri daripada ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Sri Satok, menghadiri program tersebut.
“Perkongsian berkaitan penyakit demensia sangat berguna untuk semua, dan objektif kita adalah untuk meningkatkan kesedaran.
“Intervensi awal ini boleh membantu, dan perkongsian ini boleh melambatkan atau memperlahankan (penyakit demensia),” katanya.

