KUCHING: Sarawak Energy memainkan peranan penting dalam perbincangan peralihan tenaga serantau di Enlit Asia 2024, yang berlangsung dari 8 hingga 10 Oktober lalu, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia.
Sebagai rakan kongsi Malaysia untuk acara ini, Sarawak Energy menonjolkan kepakarannya dalam pembangunan tenaga hidro mampan dan keterhubungan serantau, menyokong visi mewujudkan Grid Tenaga ASEAN yang saling berhubung.
Bertemakan “Memperkasa Peralihan Tenaga Multidimensi di ASEAN,” persidangan anjuran Clarion Energy ini memberi tumpuan kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, serta peranan negara dalam memimpin peralihan tenaga serantau.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam ucapannya, beliau menekankan komitmen Malaysia untuk membangunkan grid tenaga yang mampan dan boleh dipercayai, serta menyeru kepada kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran peralihan tenaga.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili, dalam ucapan pembukaannya di sesi pleno bertajuk Membentuk Peralihan Tenaga Serantau – Dari Malaysia ke Serantau, menegaskan kepentingan mendesak peralihan tenaga, terutamanya dalam menghadapi perubahan iklim yang pesat dan perkembangan teknologi
. “Peralihan tenaga memerlukan usaha kolektif, dan kami komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk masa depan yang lebih hijau dan mampan,” kata Sharbini sambil menggesa usaha dalam dekarbonisasi grid tenaga, melibatkan kolaborasi antara sektor awam dengan swasta.


