KUCHING: Sarawak kini dilihat sebagai destinasi utama oleh syarikat Jepun yang ingin memperluas pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, kata Pengarah Urusan (ASEAN dan India) Yamada Consulting & Spire (Y&S) Singapore Pte. Ltd., Go Sakano.
Beliau menjelaskan bahawa mereka menjangkakan hubungan pelaburan yang lebih kukuh dengan Sarawak dalam beberapa tahun akan datang, khususnya dalam bidang hidrogen hijau dan ammonia – dua komponen penting bagi ekonomi tenaga bersih.
“Sarawak berada di barisan hadapan dalam tenaga boleh diperbaharui di rantau ini dan berpotensi menjadi peneraju serta hab utama di bawah kepimpinan yang mantap.
‘’Persekitaran stabil seperti ini adalah faktor penting bagi syarikat-syarikat Jepun dalam membuat keputusan pelaburan,” kata Go.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Forum Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa Yamada yang dihadiri Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel Riverside Majestic, di sini, petang tadi.
Sakano turut menjangkakan permintaan komersial untuk hidrogen hijau, ammonia dan sumber tenaga boleh diperbaharui lain yang dihasilkan Sarawak akan mula memasuki rantaian bekalan Jepun dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

PHOTO GHAZALI BUJANG


