KUCHING: Sarawak bakal melangkah lebih jauh dalam ekonomi digital apabila menjadi tuan rumah Borneo Animation & Games Festival (BAGFEST) 2026 yang akan berlangsung di sini pada 19 hingga 23 Ogos 2026.
Menurut kenyataan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), inisiatif strategik ini dijangka membuka peluang eksport bernilai RM100 juta serta menarik pelaburan sehingga RM50 juta dalam industri animasi dan permainan digital.
“Festival antarabangsa pertama seumpamanya di Borneo itu bermatlamat meletakkan Sarawak sebagai hab serantau bagi industri animasi, permainan dan kreatif digital.
“Mengangkat tema ‘Membentuk Masa Depan Digital Sarawak sebagai Hab Serantau bagi Animasi dan Permainan’, BAGFEST 2026 menjadi pemangkin dalam memperkasa bakat kreatif tempatan, membangunkan harta intelek (IP) bertaraf global serta memperluas peluang perniagaan dalam ekonomi digital.”
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata penganjuran BAGFEST 2026 mencerminkan kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak dalam memajukan industri kreatif digital negara, selain membuka ruang baharu untuk inovasi, pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur.
“Ini merupakan platform strategik yang mampu melonjakkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa serantau dalam bidang animasi dan permainan digital, di samping mengukuhkan kehadiran Malaysia dalam ekonomi kreatif digital global.
“Pelaburan terbesar kita adalah dalam rakyat. Dengan menghubungkan bakat Malaysia dengan peneraju industri antarabangsa, pelabur dan pasaran global, kita membuka peluang kepada pencipta tempatan membangunkan harta intelek bertaraf dunia, membina perniagaan berdaya saing serta mengetengahkan kreativiti Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.
BAGFEST 2026 dijangka menarik lebih 1,500 delegasi industri daripada lebih 20 negara, selain menyaksikan lebih 200 pertemuan perniagaan (B2B), penyertaan lebih 50 pempamer serta kehadiran lebih 20,000 pengunjung menerusi pameran, persidangan, program komuniti dan pengalaman interaktif.
Antara negara yang dijangka menyertai festival itu termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Perancis, United Kingdom, Australia dan Kanada.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata BAGFEST 2026 membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh ekosistem kandungan digital Malaysia dengan membantu syarikat kreatif tempatan mengakses pasaran global, membina kerjasama komersial serta menghasilkan IP yang bersedia untuk dieksport.
“Sarawak mempunyai bakat kreatif yang besar, sokongan institusi yang kukuh serta asas digital yang baik untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan serantau bagi animasi dan permainan.
“Melalui BAGFEST 2026, kami mahu menterjemahkan potensi itu kepada hasil komersial dengan menghubungkan studio dan pencipta tempatan dengan rakan kongsi, pelabur serta pasaran global,” katanya.
Selain penglibatan industri, BAGFEST 2026 turut menawarkan pelbagai program untuk orang awam termasuk pameran animasi, komik dan permainan, pertunjukan permainan digital, aktiviti e-sukan, persembahan pentas, pertandingan cosplay serta kejohanan Beyblade.
Bagi memperkukuh pembangunan bakat, festival itu turut menampilkan MYFutureJobs Creative Speed Dating Career Fair dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang dijangka menghubungkan 500 hingga 1,000 pencari kerja dengan majikan dalam industri kreatif Malaysia.
Turut diadakan ialah sesi semakan portfolio dengan mentor berpengalaman industri animasi dan permainan bagi memberi pendedahan kepada pelajar serta bakat baharu.
Di luar lokasi konvensyen, BAGFEST 2026 turut menampilkan Wayang Pacak di Taman Perpaduan, Kuching, iaitu tayangan animasi terbuka selama tiga malam yang diinspirasikan daripada budaya pawagam terbuka tradisional Malaysia.
Majlis perasmian BAGFEST 2026 dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 21 Ogos 2026.
Penganjuran BAGFEST 2026 dijangka menjadi acara utama industri animasi dan permainan digital di Borneo, sekali gus menjadi pemangkin kepada inovasi, pembangunan bakat, kerjasama antarabangsa serta pertumbuhan ekonomi kreatif Sarawak.


