KUCHING: Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2026 dijangka menarik penyertaan global melibatkan kerajaan, pelabur dan industri tenaga dalam usaha mempercepat pembangunan ekosistem hidrogen hijau di rantau Asia Pasifik.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Hipni berkata bahawa persidangan tersebut akan menjadi platform utama yang menemukan dasar, modal dan teknologi bagi mempercepat peralihan tenaga bersih serta memperkukuh pembangunan industri hidrogen hijau secara komersial di rantau ini.
“Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu APGH 2026 turut diadakan baru-baru ini bagi memuktamadkan persiapan penganjuran persidangan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching dari 9 hingga 11 Jun ini.
“Justeru, ia dijangka menjadi medan pertemuan penting membabitkan kerajaan, pemain industri, pelabur dan penyedia teknologi dari seluruh Asia Pasifik dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi membangunkan ekonomi hidrogen hijau,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, APGH 2026 hadir ketika dunia berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global serta tekanan perubahan iklim yang semakin meningkat.
“Hidrogen hijau kini bukan lagi sekadar konsep, sebaliknya semakin menjadi komponen penting dalam peralihan tenaga ke arah sasaran sifar karbon bersih.
“Dunia kini berada pada titik perubahan apabila keperluan kepada tenaga bersih, selamat dan mampan semakin mendesak. Hidrogen hijau menjadi antara penyelesaian utama kepada cabaran tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri dengan sumber tenaga hidro boleh diperbaharui serta pembangunan Koridor SCORE yang membolehkan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar dilaksanakan.
“Sarawak tidak menunggu masa depan, sebaliknya sedang membinanya melalui pembangunan industri tenaga hijau secara terancang dan berfasa,” tambahnya.
Dalam pada itu, persidangan tiga hari itu turut akan menampilkan sesi perbincangan santai (fireside chat) bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang akan dimoderatkan oleh Nobuo Tanaka, selain sesi plenari dan perbincangan panel melibatkan landskap tenaga semasa, inisiatif hijau serta peluang rangkaian industri.
Antara agenda utama APGH 2026 adalah pelancaran Kluster Perindustrian Peralihan (TIC), iaitu inisiatif transformasi industri pertama di Malaysia di bawah kerjasama Forum Ekonomi Dunia bersama MYCentre4IR dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESTy).
Inisiatif TIC ini dijangka memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai kluster peralihan industri utama negara, selaras dengan agenda pembangunan nasional termasuk RMK-13, N4IRP, MD2030, NETR, NIMP 2030 dan SET-P.
Zon pameran APGH 2026 pula akan dibuka kepada orang awam dengan pempamer menampilkan teknologi seperti elektroliser, sistem penyimpanan tenaga, penyelesaian pengangkutan serta aplikasi hiliran hidrogen dalam sektor tenaga, pengangkutan dan industri berat.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi www.hydrogenapac.com atau menghubungi talian +60 82 555 189.


