KUCHING: Denmark bersedia meneroka kerjasama strategik dengan Sarawak dalam bidang teknologi hijau, pendidikan, aeroangkasa dan kecerdasan buatan (AI) sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Duta Besar Denmark ke Malaysia, Kirstine Vangkilde Berner berkata, pihaknya amat teruja untuk memperkukuh lagi kerjasama dua hala antara Denmark dengan Sarawak, khususnya dalam bidang teknologi hijau, selari dengan komitmen negeri ini terhadap agenda peralihan tenaga dan pembangunan mampan.
“Kami mempunyai kehadiran kukuh di Denmark melalui syarikat-syarikat kami yang berpengalaman luas dan mempunyai tradisi lama dalam teknologi hijau daripada hidrogen hijau, bahan api penerbangan mampan (SAF) hinggalah ke teknologi penangkapan karbon.
“Kami memahami keseluruhan rantaian nilai dalam industri ini dan percaya terdapat potensi besar untuk dimanfaatkan bersama.
“Maka, kami sangat teruja dapat berada di sini dan berharap kerjasama ini dapat dilanjutkan serta diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Tambahnya, pendidikan turut menjadi antara bidang utama yang dibincangkan, dengan Denmark menyatakan kesediaan menyokong aspirasi dan pelan pendidikan Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa Denmark juga berminat untuk meneroka peluang dalam bidang aeroangkasa dan AI yang kini menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi global.
Dalam pertemuan itu, Kirstine turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Abang Johari untuk melawat Denmark, sebagai satu lagi langkah memperkukuh hubungan dua hala dan memantapkan lagi potensi kerjasama yang telah dikenal pasti.

