KUCHING: Pasukan tinju Sarawak melakar kejayaan penuh bermakna apabila mereka muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Tinju Junior dan Bakat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negeri (MSN) Nilai, Negeri Sembilan.
Pertandingan selama empat hari itu (12-15 Februari) menyaksikan skuad negeri berjaya meraih sembilan pingat keseluruhan, yang terdiri daripada empat emas, satu perak dan empat gangsa.
Pingat emas disumbangkan oleh Dominik Jampi (Junior 48 kilogram (kg)), Muhammad Irfan Mohd Ishak (Junior 57kg), Muhd Afiq Adhwa Hussen (Junior 80kg) dan Dary Muhadzdzib Nordin (Bakat 50kg).
Sementara itu, satu-satunya pingat perak disumbangkan oleh Rayyan Adsyar Bob Eirwan (Bakat 46kg).
Manakala empat pingat gangsa pula disumbang oleh Tobert Tiong Madang (Junior 52kg), Lazerius Chung Guang Seng (Junior 63kg), Ryan Fabiano Maikclay (Junior 66kg) dan Elthonly Tensa (Bakat 38kg).
Pengurus Pasukan, Tiong Eng Tai, ternyata gembira dengan prestasi hebat yang dipamerkan oleh barisan petinju muda dalam kejohanan itu.
“Cukup gembira dengan prestasi hebat yang dipamerkan oleh barisan petinju muda dalam kejohanan kali ini.
“Syabas dan tahniah kepada petinju yang berjaya beroleh pingat,” ujar Eng Tai kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau berharap kejayaan yang dicipta pada kejohanan itu akan menjadi pencetus semangat buat para petinju untuk mencetak kejayaan seterusnya di kejohanan lain pada masa akan datang.

Apa yang paling menggembirakan pihaknya, kata Eng Tai, ialah apabila petinju berbakat, Dominik Jampi (Junior 48kg) dipilih sebagai Petinju Terbaik.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) atas sokongan yang diberikan.
Skuad negeri diiringi dua jurulatih dari pusat pembangunan, iaitu Kamaruddin Mohamad (Pusat Pembangunan Tinju Sri Aman) dan Mohd Syahmi Rani (Pusat Pembangunan Asajaya), selain jurulatih dari SABA, Wilbur Buah AY Andogan, dan legenda tinju Sarawak, Sapok Biki.
Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo, turut gembira dengan kejayaan yang diperoleh barisan petinju terbabit.
“Kejutan luar jangkaan dipamer barisan petinju muda kita (Sarawak) dalam kejohanan itu.
“Apa yang kita harapkan, kejayaan diperoleh barisan petinju terbabit sesungguh berupaya mencetus satu gelombamg baharu terhadap dunia sukan tinju di Sarawak,” tegasnya.


