Sarawak kaji pembatalan e-bazar Ramadan

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan membuat perbincangan lebih mendalam sama ada membatalkan e-bazar Ramadan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob awal minggu ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Sim Kui Hian berkata, pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi kerana keadaan Sarawak berbeza dengan Semenanjung Malaysia.

“Kita perlu mengkaji e-bazar Ramadan secara menyeluruh kerana saiz Sarawak yang luas berbanding Semenanjung Malaysia.

“Malah, Sarawak mempunyai autonomi sama ada untuk mengguna pakai arahan dari Putrajaya atau menolaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian pandemik Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Terdahulu Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan e-bazar ketika bulan Ramadan tahun ini tidak dibenarkan.

Katanya, sebarang bentuk perniagaan berkaitan dengan e-bazar Ramadan termasuk pandu lalu serta tempah dan ambil melalui e-hailing tidak dibenarkan kerana ia memerlukan gerai beroperasi.

Dalam pada itu, Kui Hian turut mengulas isu barisan hadapan yang ditempatkan di hotel apabila bilangannya berbeza di setiap bahagian.

“Penempatan barisan hadapan di hotel dibiayai oleh Kerajaan Sarawak kerana mengambil kira kedudukan rumah mereka dengan hospital dan mengurangkan jangkitan terhadap ahli keluarga mereka.

“Namun, ia berbeza di setiap bahagian apabila turut mengambil kira kes positif,” jelasnya.

Beliau mengambil contoh keadaan di bahagian Kuching yang mempunyai kes positif lebih tinggi berbanding Sibu atau Bintulu.

“Justeru, kita menyediakan lebih banyak bilik hotel untuk barisan hadapan di Kuching berbanding Sibu yang hanya mempunyai satu kes positif Covid-19.

“Maka, kita tidak menempatkan semua barisan hadapan di Hospital Sibu untuk tinggal di hotel,” ujarnya.

Katanya, bilangan barisan hadapan menetap di hotel pula tidak tentu kerana bergantung kepada kes positif Covid-19 setiap hari.