KUCHING: Cadangan menggunakan kaedah ‘Sistem Bank’ dalam memperkasakan persediaan sistem sokongan menjelang hari penuaan akan ditafsir semula.
Mengulas perkara tersebut, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah menegaskan idea terbabit merupakan satu idea yang bagus.
“Menerusi Program Pemerkasaan Warga Emas: Merungkai Penyakit Demensia ini, kita dapat satu idea iaitu kumpulan sokongan bank.
“Inisiatif ini terpulang kepada jam kredit yang diperolehi (terlibat membantu warga emas yang lain), jadi bila waktu kita pula memerlukan bantuan orang lain pula akan datang membantu anda.
“Usaha ini tidak melibatkan wang ringgit, ia adalah idea yang bagus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Pemerkasaan Warga Emas: Merungkai Penyakit Demensia di Kuching Community Social Support Centre (CSSC) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai program Demensia itu, beliau menegaskan ia telah mendapat perhatian dalam kalangan warga tua sekali gus menjadi penanda aras kementeriannya menerusi Majlis Pembangunan Sosial (MPS) untuk meneruskan program sama di masa hadapan. Justeru katanya, kementeriannya bercadang untuk program sama ke seluruh negeri Sarawak.
Katanya, usaha ini bagi memastikan masyarakat lebih memahami tentang Demensia di samping mampu mengambil langkah awal tentang kawalan penyakit tersebut.
“Kementerian kita akan terus mengadakan program ini dengan bergabung bersama Jabatan Wanita Sarawak memandangkan mereka ada program penjagaan warga emas dan di bawah Majlis Pembangunan Sosial (MPS),” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan kementeriannya telah bekerjasama dengan Swinburne Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Curtin University Malaysia untuk menjalankan kajian tentang persediaan penuaan Sarawak: Profil dan Isu Penuaan terhadap warga tua di Sarawak.
Kajian itu adalah untuk memeriksa demografi di samping mengenal pasti isu dan cabaran dihadapi warga emas di negeri ini.
Ia juga dijalankan untuk mengenal pasti sejauh mana program dan perkhidmatan intervensi sedia ada memenuhi keperluan warga emas di Sarawak.
Sementara itu, Fatimah mendedahkan rata-rata warga emas di negeri ini lebih berhasrat untuk meluangkan waktu tua mereka di kediaman sendiri bersama keluarga berbanding dihantar ke pusat penjagaan warga tua.


