MIRI: Laluan umrah antara Sarawak dan Kalimantan Barat bakal diperkemas menerusi kerjasama rentas sempadan yang memberi tumpuan kepada kemudahan pergerakan jemaah, pengukuhan konektiviti Kuching-Arab Saudi serta penyelarasan peraturan dan tanggungjawab pengendali.
Kerjasama itu bukan sekadar membuka lebih banyak pilihan perjalanan kepada jemaah Kalimantan Barat, malah dilihat mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai antara pintu gerbang Umrah di Borneo.
la antara susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) dan Forum Kolaborasi Perusahaan Perjalanan Ibadah Umrah (FKPPIU) Kalimantan Barat sempena Sarawak Umrah and Islamic Tourism Expo Festival 2026 (SUITEX26) baru-baru ini.
Ketua FKPPIU Kalimantan Barat, Anwar Sayuthi, berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah memperkemaskan perjalanan jemaah dari Kalimantan Barat, termasuk mereka yang memasuki Sarawak melalui pintu sempadan darat Tebedu dan Aruk.
Menurutnya, pengurusan atau laluan khusus bagi kumpulan jemaah umrah boleh diteroka bersama pihak berkuasa berkaitan, selain menyediakan kemudahan menunggu yang lebih sesuai dan proses imigresen yang lebih tersusun, terutama bagi warga emas.
“Jemaah Kalimantan Barat mempunyai beberapa pilihan, termasuk penerbangan dari Pontianak. Ada juga yang memilih perjalanan darat melalui Tebedu atau Aruk sebelum meneruskan perjalanan melalui Kuching.
“Kita berharap pilihan ini dapat menjadi lebih mudah, teratur dan selesa,” katanya.
Kerjasama berkenaan turut selari dengan pandangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengenai potensi Sarawak sebagai salah satu pintu gerbang Umrah Borneo.
Pandangan itu disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, pada majlis penutupan SUITEX26.
Anwar turut berharap potensi Kuching sebagai salah satu gerbang Umrah Borneo dapat terus diteroka, termasuk kemungkinan memperkukuh konektiviti penerbangan antara Kuching dan Arab Saudi.
Menurut Anwar, Kalimantan Barat mempunyai pasaran jemaah umrah yang juga kukuh, manakala kedudukan strategik Sarawak serta kemudahan sedia ada memberi ruang kepada kedua-dua wilayah untuk saling melengkapi.
Beliau berkata, perkara membabitkan sempadan, imigresen dan penerbangan memerlukan penyelarasan pihak kerajaan serta kementerian berkaitan di Malaysia dan Indonesia.
Katanya, perkembangan struktur Kementerian Haji dan Umrah Republik Indonesia, termasuk di Kalimantan Barat, turut membuka ruang kepada koordinasi yang lebih tersusun.
Sementara itu, Pengerusi SUHA, Ruzaiman Ghazalee, berkata peningkatan perjalanan Umrah rentas sempadan perlu bergerak seiring dengan pengukuhan peraturan, perlindungan jemaah dan kesiapsiagaan industri.
Menurutnya, aspek perlesenan perlu dilaksanakan secara adil dan timbal balik, dengan agensi Malaysia yang menjalankan aktiviti di Indonesia perlu mematuhi peraturan negara berkenaan, manakala agensi Indonesia yang beroperasi di Malaysia juga perlu mematuhi peraturan Malaysia.
“Sempadan sepatutnya membuka lebih banyak peluang kerjasama, tetapi tidak boleh menjadi ruang untuk mengelakkan peraturan.
“Ini penting bagi memastikan persaingan yang adil kepada agensi berlesen dan pada masa sama melindungi jemaah, sama ada dari segi peraturan dan pelaksanaannya,” katanya.
Ruzaiman berkata, MoU SUHA-FKPPIU juga diharap dapat diterjemahkan kepada penyelarasan operasi antara kedua-dua organisasi, termasuk komunikasi antara agensi, perkongsian maklumat perjalanan dan koordinasi sekiranya berlaku masalah.
Pada masa sama, Ruzaiman berkata Sarawak perlu terus meningkatkan kesiapsiagaan jika mahu menjadi pilihan perjalanan Umrah serantau, termasuk dari segi pengurusan jemaah, kebolehpercayaan pengendali dan konsistensi perkhidmatan.
Ruzaiman berkata, kerajaan boleh menilai potensi penerbangan terus antara Kuching dan Arab Saudi daripada pelbagai sudut. Selain berpotensi memendekkan masa perjalanan jemaah, laluan itu juga boleh memberi manfaat kepada Sarawak melalui sektor penerbangan, pelancongan, perhotelan, pengangkutan serta perniagaan berkaitan.



