KUCHING: Sarawak terletak secara strategik di Pulau Borneo, menyediakan akses sangat baik kepada pasaran Asia yang berkembang pesat iaitu terdiri daripada kira-kira 60 peratus daripada penduduk dunia, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Justeru, katanya kedudukan geografi utama itu menjadikan Sarawak pintu masuk yang ideal untuk menembusi pasaran yang lebih luas di Asia dan seterusnya.
“Tanah kami seluas 12.4 juta hektar kaya dengan sumber asli, daripada hutan yang luas, tanah pertanian yang boleh diusahakan, sumber mineral yang luas menyumbang kepada rizab petroleum dan gas asli yang besar, yang masih belum diterokai sepenuhnya.
“Sumber-sumber ini memberikan banyak peluang pelaburan, yang turut menyediakan asas kukuh untuk mengembangkan enam sektor ekonomi yang dikenal pasti di bawah PCDS 2030. Sektor ini ialah pembuatan, pertanian, perhutanan, pelancongan, perlombongan dan perkhidmatan.
“Kami akan memastikan kekayaan alam ini diuruskan secara bertanggungjawab melalui amalan mampan antara pembangunan ekonomi, kemajuan masyarakat dan penjagaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Siri Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) – Sarawak 2024 bertemakan Membina Masa Depan Yang Lestari: Melabur Di Sarawak di Ibu Pejabat MIDA, Kuala Lumpur semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut menyifatkan Sarawak adalah mercu tanda peluang ekonomi di tengahtengah Asia Tenggara dan telah mengorak langkah penting dalam kemampanan.
Mengibaratkan sebagai permata dalam mahkota Malaysia, beliau berkata Sarawak dianugerahkan dengan kekayaan sumber asli, biodiversiti dan warisan budaya.
Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata politik yang stabil dan tadbir urus yang telus memberi keyakinan kepada pelabur untuk menubuhkan dan mengembangkan perniagaan di Sarawak.
Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Sarawak turut menyediakan persekitaran yang mesra perniagaan.
“Rangka kerja undang-undang yang jelas dan dasar sokongan kami direka bentuk untuk menyokong pelaburan dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan,” katanya.


