KUCHING: Sarawak kehilangan seorang negarawan ulung apabila Datuk Seri Bo’ Tajang Laing menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan legasi besar dalam sejarah pembangunan negeri yang sukar ditandingi.
Kehilangan tokoh berusia 100 tahun itu terus dirasai ketika Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hadir memberikan penghormatan terakhir di kediaman keluarga mendiang di Jalan Batu Lintang, petang semalam.
Ketibaan mereka kira-kira jam 3.35 petang disambut dalam suasana penuh hiba oleh anak-anak mendiang, Lohong, Livan dan Peing, serta ahli keluarga terdekat termasuk Datuk Stanley Ajang dan Senator Pele Datuk Peter Tinggom.

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut meluangkan masa bersama keluarga mendiang, selain menyampaikan kata-kata semangat dan sokongan moral bagi meringankan kesedihan atas pemergian tokoh yang amat disegani itu.
Tun Wan Junaidi menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak, mengambil kira sumbangannya yang signifikan dalam mencorakkan sejarah awal pentadbiran negeri.
“Mendiang merupakan mantan menteri kabinet Sarawak pada era kepimpinan Ketua Menteri pertama, Stephen Kalong Ningkan, dan memainkan peranan penting dalam membentuk asas pentadbiran negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi.
Tambah beliau, mendiang juga antara figura penting yang terlibat dalam rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus meninggalkan kesan mendalam dalam landskap politik dan pembangunan Sarawak.
Dilahirkan pada 22 Februari 1926 di pedalaman Sarawak, Tajang menyaksikan sendiri perubahan negara sejak era pra-kemerdekaan hingga pembentukan Malaysia, malah turut menjadi sebahagian daripada perjalanan sejarah tersebut.
Mendiang turut mencipta sejarah sebagai menteri Orang Ulu pertama dalam kabinet awal Sarawak selepas memenangi pilihan raya di bawah Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) pimpinan Jugah Barieng.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah memegang portfolio Menteri Pertanian dan Perhutanan serta dikenali sebagai pemimpin yang kerap turun padang, khususnya di kawasan luar bandar seperti Belaga dan Baram.
Untuk makluman, upacara pengebumian akan diadakan di Sungai Asap, Belaga, mengikut adat kaum Orang Ulu.
Jenazah mendiang akan disemayamkan selama 16 hari di rumah panjang Uma Nyaving bagi memberi ruang kepada masyarakat memberikan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di dalam makam, sekali gus melengkapkan keseluruhan proses pengebumian selama 18 hari.


