ARTIKEL

Sarawak kekal dengan pendirian tidak terima pelarian Rohingya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendirian Sarawak menolak kemasukan pelarian Rohingya sejak 2017 tidak seharusnya dilihat sebagai tidak berperikemanusiaan kerana Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak tetap bersimpati terhadap penderitaan yang berlaku di Myanmar apabila rakyat terpaksa meninggalkan negara sendiri akibat penindasan, tetapi Sarawak sejak 2017 lagi telah menyatakan pendirian untuk tidak terlibat dalam penempatan mereka.

“Saya masih ingat Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada masa itu sudah mengeluarkan kenyataan bahawa kita tidak mahu terlibat.

“Saya rasa Rohingya juga tidak mahu datang ke Sarawak kerana kedudukan kita jauh dan mereka perlu melalui Selat Melaka serta Laut China Selatan sebelum tiba di sini.

“Justeru, kita boleh lihat sekarang bahawa pandangan kita pada 2017 adalah tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) 2026 di Baitul Makmur II, di sini, hari ini.

Abdul Karim turut menjawab soalan berhubung isu pelarian Rohingya di Semenanjung Malaysia dan pendirian Sarawak terhadap perkara itu.

Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan pendirian itu tidak bermakna Sarawak tidak berperikemanusiaan terhadap golongan yang memerlukan bantuan kerana Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan, termasuk warga asing yang tinggal di sini.

“Semasa COVID-19, sesiapa sahaja yang tinggal di sini, termasuk warga jiran kita yang bekerja dan tidak dapat pulang kerana sempadan ditutup turut dibantu.

“Mereka yang tinggal di sini juga kita bantu walaupun mereka tidak dianggap sebagai asnaf atau golongan yang memerlukan.

“Itu menunjukkan pentadbiran negeri ini bukan kejam dan kita akan membantu apabila ada keperluan,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian terhadap perkara itu demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan rakyat tempatan.

Sehubungan itu, Abdul Karim menegaskan pengurusan pelarian Rohingya ke Malaysia perlu dilaksanakan secara lebih teratur bagi mengelakkan masalah sosial dan menjaga kesejahteraan rakyat tempatan.

“Kedudukan Semenanjung Malaysia yang berhampiran dengan Thailand dan Myanmar menyebabkan kawasan ini lebih terdedah kepada kemasukan pelarian melalui laluan darat dan laut seperti bot.

“Kalau kita lihat cara pengurusan pendatang atau pelarian ini, berdasarkan pemerhatian peribadi saya, ia masih belum diurus dengan baik.

“Oleh itu, di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Terengganu, kita boleh lihat ramai dalam kalangan mereka yang mencari tempat baharu untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Menurutnya, keadaan tersebut telah mewujudkan masalah sosial yang sebenarnya boleh ditangani sekiranya pentadbiran dan pengurusan pelarian dilaksanakan dengan lebih teratur.

“Sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu meneliti kemasukan pelarian atau pendatang luar yang ditindas di negara asal, perkara ini perlu dilaksanakan dengan teratur.

“Pastikan ia teratur. Jangan sampai mereka yang datang sudah bertahun-tahun berada di sini, mendirikan penempatan sendiri, memasuki kampung serta mengambil alih pasar borong atau tempat perniagaan.

“Akhirnya anak tempatan pula berdepan masalah untuk berniaga dan kes-kes sosial meningkat akibat pengurusan yang tidak teratur,” jelasnya.

Untuk rekod, Premier pada 2017 menegaskan pendirian bahawa Sarawak tidak akan menjadi lokasi penempatan sementara bagi pelarian Rohingya.

Baru-baru ini juga, isu berkaitan penempatan haram, kemasukan tidak sah, pemerdagangan manusia dan kos pengurusan pelarian Rohingya kembali menjadi perhatian.

Kebimbangan turut timbul susulan kewujudan penempatan tidak sah di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia yang dikaitkan dengan peningkatan kepadatan penduduk serta isu sosial setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU