KUCHING: Dana Amanah Sumbangan Perumahan Sarawak (SHCTF) berjaya mengutip RM5 juta setakat 15 November 2025, meskipun baharu sahaja ditubuhkan, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, dana amanah tersebut diwujudkan sebagai satu mekanisme kewangan khusus dalam menyokong agenda Kerajaan Sarawak dalam menyediakan perumahan mampu milik yang dirancang dengan baik di seluruh negeri.
“Sumber utama dana ini datang daripada sumbangan pemaju swasta dan kami akan terus memastikan tabung ini menjadi instrumen kewangan yang kukuh bagi menyokong agenda Kerajaan Sarawak untuk menyediakan 20,000 rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
Beliau menambah bahawa Kementeriannya komited meningkatkan proses kutipan dan pemantauan melalui transformasi pendigitalan menggunakan Sistem Pembangunan dan Penyelenggaraan Perumahan (HOMEAPPS).
“Ini bagi memastikan setiap sumbangan direkodkan dengan tepat, diuruskan dengan betul serta digunakan secara telus selaras dengan objektif asalnya,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau meluahkan komitmen kementerian dalam memastikan setiap rakyat Sarawak berpeluang memiliki rumah yang selesa dan mampu milik, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS30).
Dari tahun 2019 hingga 2025, kementerian menerima 8,642 permohonan perumahan mampu milik swasta bagi semua kategori dan daripada jumlah itu, 7,172 permohonan diluluskan.
Kuching kekal mencatatkan permintaan perumahan tertinggi dengan penyertaan kukuh dalam skim Sri Pertiwi, SPEKTRA Medium, SPEKTRA Lite dan PUTERA.
“Samarahan menunjukkan pertumbuhan stabil bagi skim SPEKTRA Lite dan PUTERA, dipacu oleh peranannya sebagai hab kediaman dan pendidikan yang sedang berkembang.
“Bagi Miri, permintaan untuk SPEKTRA Medium dan Sri Pertiwi kekal signifikan, menunjukkan keperluan perumahan bandar yang mapan selaras dengan pertumbuhan sektor perindustrian dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau menambah, Sibu terus mendapat manfaat daripada penyertaan seimbang dalam skim perumahan B40 dan M40, dengan kerjasama berterusan untuk mengenal pasti tapak baharu bagi pembangunan perumahan masa depan.
Bintulu mencatatkan penyertaan konsisten dalam skim PUTERA dan SPEKTRA, mencerminkan pertambahan penduduk yang dikaitkan dengan koridor perindustrian Sarawak.
Betong, Kapit dan Limbang pula menunjukkan penyertaan yang kecil tetapi stabil, terutamanya dalam kategori Kos Rendah dan SPEKTRA Lite.
“Kementerian saya akan terus menyokong usaha perumahan setempat untuk memenuhi keperluan perumahan luar bandar serta memperkukuh pelaksanaan program perumahan yang inklusif, saksama dan mampan,” katanya.

