ARTIKEL

Awang Tengah menunjukkan teks ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini. FOTO MOHD ALIF NONI

Sarawak kukuhkan peranan hab tenaga bersih serantau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek pembinaan paip gas bandar berjumlah RM100 juta di Bintulu akan dilaksanakan tidak lama lagi sekali gus memperluaskan akses tenaga bersih dan mampu milik kepada rumah-rumah serta perniagaan.

Timbalan Premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini adalah sebahagian daripada inisiatif Sarawak yang mengiktiraf gas asli sebagai bahan api peralihan penting dalam usaha global menuju pelepasan sifar bersih.

“Pelan Induk Gas Sarawak (SGR) memanfaatkan sumber gas asli Sarawak yang melimpah merangkumi lebih 60 peratus daripada rizab Malaysia.

“Ini adalah untuk memacu perindustrian, meningkatkan keselamatan tenaga dan menarik pelaburan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Samalaju Pipeline bernilai RM1 bilion akan menyalurkan 300 juta kaki padu standard sehari (mmscf/d) dari Bintulu ke Taman Perindustrian Samalaju (SIP).

Jelasnya, pemasangan paip gas ini dijangka siap pada akhir tahun 2025.

Sehubungan itu, Kuching kini muncul sebagai hab gas karbon rendah serantau yang memfokuskan kepada penghantaran gas asli, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta penerokaan gas luar pesisir dan pembangunan berkaitan.

“Pelabuhan laut dalam yang dicadangkan di Tanjung Embang dijangka akan menyokong pembangunan hab gas karbon rendah di Kuching sekali gus menarik pelaburan dan mengukuhkan kepimpinan Sarawak dalam tenaga bersih.

“Baru-baru ini juga, PETROS telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik dengan China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group Ltd (CJI) iaitu salah satu rakan utama dalam pembangunan pelan induk Hab Karbon Rendah Kuching,” katanya lagi.

Di samping itu, PETROS telah mengembangkan operasi huluan dengan 21 Kontrak Perkongsi Pengeluaran (PSC), termasuk 12 projek penerokaan dan pegangan ekuiti dalam lima medan pengeluaran, dengan jumlah pengeluaran mencecah 100,000 tong setara minyak sehari.

Selain itu, tapak SK433 Adong Kecil West di Miri dijangka akan menghasilkan minyak darat pertamanya pada tahun 2026.

Dalam pada itu, PETROS telah memperuntukkan sejumlah RM8.5 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk pembangunan infrastruktur dan pengkomersialan sumber.

“Menjelang tahun 2030, SGR dijangka menarik pelaburan sebanyak RM60 bilion dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi Sarawak.

“Inisiatif-inisiatif ini tentunya akan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju tenaga mampan, memacu pertumbuhan ekonomi sambil menyokong usaha penyahkarbonan global,” jelasnya lagi.

Awang Tengah turut memberitahu, pada tahun 2024, PETRONAS telah melabur sebanyak RM25 bilion di Sarawak, termasuk sembilan penemuan hidrokarbon baharu dan dua pencapaian pengeluaran utama iaitu medan Kasawari di Blok SK316 dan medan Jerun di Blok SK408.

Tambahnya, PETRONAS kini giat mempertingkatkan penerokaan di kawasan baharu melalui pemerkayaan data dan kerjasama strategik dalam pemprosesan seismik, sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak dalam sektor tenaga Malaysia serta menyokong keselamatan tenaga jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU