ARTIKEL

(Hadapan, kanan) Mohd Khairul Fidzal bertukar dokumen kerjasama dengan Ts. Hazwan Razak (hadapan, kiri) bagi pembangunan Sarawak Regenerative BioFoundry, disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sarawak labur RM50 juta perkukuh hab bioteknologi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Sarawak mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab bioteknologi dan penjagaan kesihatan bernilai tinggi menerusi cadangan pelaburan RM50 juta bagi membangunkan Sarawak Regenerative BioFoundry di Taman BioIndustri Sarawak.

Cadangan pembangunan itu merupakan kerjasama antara Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) dan BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT), yang dimeterai menerusi pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif BVT, Ts. Hazwan Razak.

Pertukaran dokumen itu berlangsung pada Majlis Pecah Tanah dan Pertukaran Perjanjian Taman BioIndustri Sarawak di sini, semalam, dengan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kerjasama berkenaan merupakan lanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Oktober 2025 sempena International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS25).

Sarawak Regenerative BioFoundry dirancang sebagai hab bersepadu pertama seumpamanya di Asia Tenggara – menghimpunkan rangkaian aktiviti perubatan regeneratif meliputi penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, aplikasi klinikal serta kesejahteraan pesakit.

Kemudahan itu akan merangkumi empat komponen utama iaitu Nexus Pembuatan, Nexus Klinikal, Nexus Teknologi dan Penyelidikan serta Nexus Kesejahteraan, sekali gus membentuk ekosistem bersepadu bagi mempercepatkan pembangunan inovasi perubatan regeneratif daripada makmal kepada pesakit.

Mohd Khairul Fidzal berkata pembangunan BioFoundry itu penting dalam memperkukuh laluan daripada penyelidikan kepada rawatan sebenar, khususnya dalam bidang terapi sel dan gen yang masih berkembang di Malaysia.

Beliau berkata meskipun syarikat bioteknologi tempatan telah membangunkan pelbagai teknologi berpotensi tinggi, sebahagiannya masih berdepan cabaran mendapatkan pengesahan klinikal dan membawa produk ke pasaran.

“Kerjasama dengan BVT akan memberi syarikat dalam ekosistem kami, termasuk syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA), laluan lebih baik untuk menguji, mengesahkan dan membangunkan teknologi mereka dalam persekitaran penjagaan kesihatan sebenar.

“BioFoundry ini akan menyediakan platform tersebut dengan beroperasi selaras dengan garis panduan dan keperluan kawal selia Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata Bioeconomy Corporation kini menyokong portfolio syarikat bioteknologi yang membangunkan lebih 50 produk terapi sel dan gen yang berpotensi mendapat manfaat daripada ekosistem BioFoundry berkenaan.

Katanya, kerjasama itu turut dijangka merapatkan hubungan antara industri, penyedia penjagaan kesihatan dan kerajaan, selain menyokong pemindahan teknologi, pengkomersialan serta pelaburan dalam industri penjagaan kesihatan bernilai tinggi.

Sementara itu, Ts. Hazwan Razak berkata Sarawak Regenerative BioFoundry mencerminkan aspirasi negeri untuk membangunkan industri bernilai tinggi menerusi Taman BioIndustri Sarawak.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, Bioeconomy Corporation akan membawa rangkaian teknologi dan syarikat di peringkat nasional, manakala Sarawak menyediakan platform untuk menghimpun dan mengembangkan keupayaan berkenaan.

BioFoundry itu turut menyokong pembangunan produk terapi sel dan gen (CGTP), termasuk terapi yang menggunakan sel hidup atau bahan genetik bagi merawat penyakit kompleks seperti sesetengah jenis kanser dan penyakit genetik.

Dengan kemudahan penyelidikan, pembuatan dan klinikal ditempatkan dalam satu ekosistem, pembangunan itu dijangka mempercepatkan proses membawa inovasi daripada makmal kepada pesakit, selain membolehkan penghasilan dan pembekalan CGTP kepada hospital serta rakan klinikal di Sarawak dan rantau lebih luas.

Kedua-dua pihak turut bekerjasama dalam pembangunan bakat dan akses kepada insentif berkaitan, selain menyelaras penglibatan dengan agensi negeri, hospital dan pihak berkepentingan lain bagi menyokong pembangunan serta operasi kemudahan berkenaan.

Inisiatif itu dijangka menyumbang kepada usaha jangka panjang Sarawak mempelbagaikan ekonomi menerusi pembangunan industri bioteknologi bernilai tinggi, menarik pelaburan baharu, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan negeri.

Ia juga selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mentransformasikan negeri menjadi masyarakat maju dan inklusif menjelang 2030 melalui peningkatan akses, kualiti dan infrastruktur penjagaan kesihatan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Pada peringkat nasional, inisiatif itu menyokong Dasar Bioteknologi Negara 2.0, khususnya dalam bidang biologik, perubatan jitu serta terapi sel dan gen, selain selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan pembuatan tempatan bernilai tinggi dalam sektor farmaseutikal.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU