KUCHING: Sarawak dilihat sebagai lokasi strategik untuk menjalinkan kerjasama ekoran kedudukan dan potensi ekonomi yang semakin berkembang pesat ketika ini.
Pengarah Urusan Serantau AWS bagi Sektor Awam Seluruh Dunia di ASEAN, Eric Conrad berkata faktor tersebut juga didorong oleh visi berani negeri ini yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 selaras dengan hasil yang ingin dicapai.
Katanya, pencapaian tersebut juga dilihat menerusi sokongan oleh institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan beberapa organisasi lain yang diwujudkan.
“Justeru, dari sudut pandangan kami, apabila dapat bekerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Datuk Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman dan tokoh utama lain, Sarawak merupakan lokasi strategik untuk menjalinkan kerjasama.
“Kita juga dapat membina kerjasama yang baik dengan rakan strategik dalam usaha membentuk impak yang bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi taklimat media sempena Forum Inovasi Sektor Awam Sarawak yang disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi di Hotel Hilton di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menambah pihaknya memang memberi penekanan terhadap tumpuan dasar yang berkait rapat dengan pelaburan khususnya dalam infrastruktur.
“Apa yang kami lakukan ialah sentiasa mendengar permintaan daripada pelanggan untuk memahami keperluan mereka dan memastikan infrastruktur yang bersesuaian disediakan bagi menyokongnya.
“Kini, AWS komited dalam menyokong pelbagai spektrum infrastruktur dan terdapat banyak pendekatan berbeza yang boleh kami lakukan untuk memenuhi permintaan di negeri ini.
“Kami juga komited untuk mengekalkan hubungan yang positif ini kerana melihat masa hadapan Sarawak sangat cerah dan percaya kedudukan kami di Malaysia akan terus kukuh dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Sementara, Syeed Mohd Hussein memaklumkan bahawa keseriusan tehadap pembangunan teknologi di negeri ini dapat dilihat dengan pelaburan Kerajaan Sarawak melalui CENTEXS.
“Seperti yang disebut oleh Datuk Seri Julaihi dalam ucapannya— kami bukan sekadar berkata-kata, tetapi membuktikannya melalui tindakan.
“Pada masa sama, terdapat juga pembangunan lain seperti pembinaan menara telekomunikasi oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA). Berbilion ringgit telah dilaburkan oleh Kerajaan Sarawak untuk usaha ini sekali gus menunjukkan betapa seriusnya mereka terhadap pembangunan ini,” jelasnya.

