SIBU: Sarawak menyasarkan untuk menjadi seperti ‘Cape Verde’ dalam bidang pendidikan dan teknologi menerusi pembangunan modal insan yang menguasai ilmu serta teknologi baharu.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan negara kecil itu membuktikan saiz bukan penentu kejayaan, sebaliknya bergantung kepada kepimpinan, pengurusan dan semangat untuk menjadi juara.
“Kita lihat Cape Verde yang mempunyai penduduk sekitar 500,000 orang mampu bersaing dengan pasukan gergasi dunia dalam sukan bola sepak. Kalau Cape Verde boleh, Sarawak pun boleh menjadi pasukan yang hebat.
“Dengan syarat kita mempunyai kepimpinan yang berani, bertanggungjawab, mengambil kira keadaan sekeliling dan mempunyai semangat untuk menjadi juara,” katanya ketika berucap pada persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak di sini, hari ini.
Tambah beliau, aspirasi itu juga selari dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang menekankan reformasi pendidikan, sinergi kepimpinan dan pembentukan nilai insan.
Abang Johari berkata, antara cabaran utama dunia ketika ini ialah perubahan iklim yang memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan makanan.
Tegasnya, Sarawak perlu bersedia lebih awal dengan melahirkan generasi yang menguasai teknologi masa depan.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak memperkenalkan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk Program Dwibahasa (DLP), Program SEED serta pembangunan ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memperkukuh penguasaan pelajar dalam bidang yang menjadi pemacu ekonomi baharu.


