KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd memohon maaf kepada penduduk sekitar Jalan Wan Alwi susulan gangguan bekalan air yang berlaku akibat kerja pembinaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Menurut Sarawak Metro dalam kenyataan media hari ini, gangguan tersebut berpunca daripada kerosakan paip air secara tidak sengaja semasa kerja pembinaan Pakej 2 Laluan Biru yang dijalankan pada Rabu lalu.
“Sejurus insiden dikesan, pihak kami segera menggerakkan tindakan bersama kontraktor projek, iaitu usaha sama Perbena Emas Sdn Bhd dan CRBC (M) Holdings Sdn Bhd serta Lembaga Air Kuching bagi melaksanakan kerja pembaikan dan memulihkan bekalan air kepada penduduk terjejas.
“Langkah ini bagi memastikan kerja pemulihan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Kenyataan itu menambah, kerja pembinaan di kawasan bandar yang mempunyai jaringan utiliti bawah tanah kompleks berisiko menyebabkan gangguan sedemikian berlaku meskipun langkah kawalan telah dilaksanakan.
“Di kawasan Jalan Wan Alwi, kerja pembinaan semasa melibatkan pembangunan struktur utama termasuk tiang jejambat laluan bertingkat serta struktur rentang panjang merentasi persimpangan utama yang merupakan antara komponen penting Projek KUTS.
“Kerja-kerja lubang rintis (trial pit) dan pengalihan utiliti turut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada proses pembinaan sebelum kerja struktur utama diteruskan di kawasan tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kerja pengalihan utiliti di kawasan berkenaan dijangka siap dalam tempoh kira-kira tiga bulan akan datang, tertakluk kepada keadaan tapak, penyelarasan utiliti, pengurusan trafik serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Justeru, kami komited untuk terus meminimumkan gangguan terhadap perkhidmatan utiliti awam dan komuniti setempat seiring kemajuan projek KUTS yang kini memasuki fasa pembinaan lebih aktif.
“Prosedur operasi sentiasa diperkukuh termasuk penyelarasan lebih rapat antara kontraktor, pemantauan di tapak serta langkah mengurangkan risiko kejadian serupa berulang pada masa hadapan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sarawak Metro memaklumkan antara langkah yang dilaksanakan termasuk pemetaan utiliti secara menyeluruh, libat urus berterusan dengan penyedia utiliti, penyelarasan awal sebelum kerja penggalian berhampiran paip dan kabel bawah tanah serta penilaian risiko secara berterusan di tapak.
“Oleh itu, kami merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan dan penyedia utiliti atas kerjasama yang diberikan.
“Kami juga menghargai kesabaran dan sokongan orang ramai dalam pembangunan sistem pengangkutan awam moden dan mampan di Greater Kuching,” katanya.


