KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd komited sepenuhnya untuk meminimumkan gangguan kepada perkhidmatan utiliti terutamanya semasa Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang sedang dalam kemuncak fasa pembinaan.
Menurut kenyataan media Sarawak Metro, pihaknya mengakui beberapa insiden tidak dijangka telah menjejaskan perkhidmatan utiliti untuk komuniti di sepanjang jajaran tersebut.
“Insiden baru-baru ini yang diketengahkan oleh Lembaga Air Kuching (KWB) adalah apabila saluran paip bawah tanah rosak secara tidak sengaja akibat pembinaan Projek KUTS.
“Kerosakan itu telah mengganggu bekalan air kepada komuniti setempat di sepanjang Jalan Datuk Mohammad Musa di Kota Samarahan dan Jalan Wan Alwi di Kuching.
“Kami memohon maaf kepada semua komuniti yang terjejas atas kesulitan yang disebabkan oleh gangguan bekalan air terbabit,” katanya.
Semasa kejadian itu, Sarawak Metro bersama-sama kontraktor terlibat telah bekerjasama rapat dengan KWB untuk melaksanakan pembaikan serta-merta dan perkhidmatan pemulihan sepantas mungkin.
Oleh itu, Sarawak Metro sedang mengkaji dan mengukuhkan protokol operasi untuk meningkatkan penyelarasan antara kontraktor, menambah baik penyeliaan di tapak dan mencegah kejadian yang sama daripada berulang.
Selain itu, syarikat berkenaan turut berhubung dengan penyedia utiliti berkaitan serta kontraktor masing-masing, terutamanya sebelum sebarang aktiviti penggalian dilakukan berhampiran paip dan kabel bawah tanah.


