KUCHING: Sarawak mempunyai bilangan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) paling ramai di Malaysia setakat ini, dengan tidak kurang daripada 210 orang, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Mereka turut membantu kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun dan syarikat milik Kerajaan Sarawak dalam membangunkan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) serta memantau pelaksanaannya,” katanya ketika berucap pada Hari Integriti Bank Pembangunan Sarawak Berhad (DBOS) di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Pengerusi dan Ahli Lembaga DBOS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta Ketua Pegawai Eksekutif DBOS, Datuk Laura Lee.
Justeru, beliau menyifatkan prestasi dan kedudukan kewangan Sarawak yang baik sebagai bukti kukuh terhadap disiplin kewangan dan pengurusan fiskal berhemat di semua peringkat, yang disokong oleh tadbir urus kukuh serta kepimpinan beretika dalam menguruskan dana dan sumber awam negeri.
“Ini telah mewujudkan keyakinan tinggi dalam kalangan rakyat terhadap pentadbiran negeri serta menarik pelaburan baharu dalam pelbagai sektor, seperti yang tercermin melalui Penarafan Kredit Sarawak bertaraf AAA,” katanya.
Abang Johari menegaskan, persekitaran kerajaan dan perniagaan yang dikenali kerana ketelusan dan akauntabiliti akan menarik pelabur berkualiti dan serius, sesuatu yang amat penting ketika Sarawak melangkah ke era baharu ekonomi moden dan pelan hala tuju kelestariaannya.
Tambahnya, tadbir urus yang kukuh dalam syarikat milik kerajaan juga penting untuk memastikan mereka beroperasi secara profesional dan menjadi pemangkin pertumbuhan sebenar, seterusnya mencipta nilai jangka panjang demi kemakmuran Sarawak.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membelanjakan berbilion ringgit untuk membangunkan pelbagai infrastruktur dan kemudahan awam.
“Saya ingin menegaskan betapa pentingnya integriti dalam pengurusan projek bagi memastikan projek infrastruktur disiapkan mengikut jadual dan dalam bajet, serta memberikan manfaat yang dimaksudkan kepada rakyat, selain mengelakkan kelewatan atau pembaikan semula yang membazir.
“Kecekapan penyampaian perkhidmatan ini mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan mengurus agenda pembangunan negeri,” tegasnya.
Abang Johari berkata, visi dan rancangan yang digariskan hanya dapat direalisasikan sekiranya semua pihak secara kolektif menyemai integriti dalam usaha serta menjadi penggerak yang dipercayai dengan kepimpinan beretika.
“Kerajaan Sarawak menganggap integriti sebagai tonggak asas strategi pembangunannya, bukan hanya untuk keuntungan kewangan tetapi bagi kemakmuran lestari dan saksama untuk semua rakyatnya,” katanya.



