KUCHING: Sarawak masih mempunyai peluang besar untuk memperluaskan kumpulan bakat dan tenaga kerjanya apabila kira-kira 253,600 individu di negeri ini kini berada di luar pasaran pekerjaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, golongan berkenaan berupaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri sekiranya diberikan sokongan yang sesuai menerusi program peningkatan kemahiran, latihan semula serta peluang pekerjaan yang lebih fleksibel.
“Masih terdapat peluang untuk memperluas kumpulan bakat yang tersedia.
“Kira-kira 253,600 individu kini berada di luar tenaga kerja, dan dengan sokongan yang sesuai, sebahagian daripada mereka boleh kembali menyertai pasaran pekerjaan melalui program peningkatan kemahiran, latihan semula atau peluang pekerjaan yang lebih fleksibel,” katanya ketika berucap pada Bengkel Dasar Pembangunan Bakat Sarawak bagi Sektor Pelancongan, Seni, Kebudayaan dan Industri Kreatif di sini hari ini.
Menurutnya, langkah itu merupakan antara lima perkara yang ditekankan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin meningkat ketika Sarawak sedang beralih daripada pembangunan berasaskan sumber kepada ekonomi berasaskan pengetahuan yang dipacu inovasi, modal insan, pertumbuhan yang mampan dan ekonomi yang lebih berdaya saing.
Justeru, katanya, bagi mencapai matlamat itu, Sarawak memerlukan bakat yang tepat pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri dan mencapai status ekonomi maju menjelang 2030.
Menjelas lanjut, beliau berkata perkara seterusnya yang turut ditekankan adalah menyasarkan peningkatan jumlah tenaga kerja mahir daripada kira-kira 274,000 orang pada tahun 2024 kepada 500,000 orang menjelang tahun 2030.
Pada masa sama, Sagah berkata Sarawak terus memperkukuh saluran pembangunan bakat menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak (GETS).
Katanya, FTES turut disokong oleh peruntukan RM250 juta bagi pendidikan tinggi percuma pada tahun 2026 untuk memperluaskan akses pendidikan dan membangunkan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
Beliau menambah, ia turut melibatkan memperkukuh usaha mengekalkan kira-kira 20 peratus graduan yang memilih pekerjaan berpendapatan lebih tinggi dan lebih selaras dengan kelayakan mereka di luar Sarawak, dengan memastikan pembangunan bakat sentiasa sejajar dengan permintaan industri.
Seterusnya, Sagah berkata Sarawak sedang beralih daripada pembangunan berasaskan sumber kepada ekonomi berasaskan pengetahuan yang dipacu oleh inovasi dan modal insan.
“Dasar ini akan menghubungkan usaha-usaha sedia ada, menyelaraskan pendidikan dan latihan secara langsung dengan permintaan industri serta memastikan tenaga kerja bersedia sepenuhnya untuk menyokong objektif strategik jangka panjang Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Sagah berkata Dasar Pembangunan Bakat Sarawak akan dibangunkan agar sejajar serta mengukuhkan objektif Strategi Pembangunan Pasca-Covid (PCDS) 2030 serta Rancangan Malaysia Ke-13 bagi Sarawak.
Katanya, dasar itu mengguna pakai pendekatan menyeluruh yang merangkumi kesemua 15 sektor sosioekonomi dan pemudah cara, dengan penekanan khusus terhadap sektor berimpak tinggi yang memacu pertumbuhan, termasuk pertanian komersial, perkhidmatan sosial, pelancongan, seni, kebudayaan dan industri kreatif, pembuatan dan pembangunan PKS, perhutanan, pengurusan serta pemuliharaan aset semula jadi, perlombongan dan minyak serta gas, pengangkutan dan logistik serta peralihan tenaga.
“Ini memastikan usaha pembangunan bakat selaras secara langsung dengan keutamaan ekonomi dan agenda transformasi Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya telah memulakan Kajian Dasar dan Kerangka Pembangunan Bakat Sarawak yang diterajui oleh Ernst & Young Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Pejabat Premier Sarawak.
Katanya, kajian itu akan menyediakan pelan hala tuju berasaskan data untuk memperkukuh ekosistem bakat Sarawak.
“Antara hasil utama kajian ini ialah dasar dan kerangka pembangunan bakat yang komprehensif; analisis tenaga kerja berasaskan sektor; pakej pekerjaan Sarawak yang kompetitif bagi menangani jurang gaji; kerangka Majlis Sumber Manusia bagi memperkukuh tadbir urus dan sistem yang kukuh untuk pemantauan serta pelaporan data tenaga kerja.
“Misi kita adalah untuk memudahkan pergerakan rakyat Sarawak ke dalam pekerjaan bernilai tinggi yang secara langsung meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.



