KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak akan mengemukakan permohonan Permohonan Pembangunan Lapangan Terbang (ADR) kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk kelulusan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) baharu di Tanjung Embang.
Menterinya, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, kajian pengesahan tapak dan kebolehsaknaan bagi lapangan terbang baharu tersebut telah berjaya disiapkan.
Menurutnya, kajian tersebut menyimpulkan bahawa tapak itu berdaya maju dari segi operasi dan teknikal, serta selaras dengan Pelan Strategik Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dalam memperkukuh keterhubungan Sarawak dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Kajian itu turut menilai faktor utama termasuk keperluan ruang udara, kesesuaian guna tanah, kesalinghubungan infrastruktur, pertimbangan alam sekitar serta potensi pertumbuhan penumpang dan kargo, sebagai sokongan kepada aspirasi Sarawak untuk menjadi hab penerbangan dan logistik serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada pengambilan tanah, penyediaan tapak dan reka bentuk terperinci, seterusnya membuka jalan kepada permulaan pembinaan fizikal LTAK baharu.
Berhubung naik taraf Lapangan Terbang Miri, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri, Menteri Pengangkutan Malaysia dan Menteri Ekonomi atas kelulusan peningkatan siling kos Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Miri daripada RM150 juta kepada RM445 juta.
Peningkatan ini dicapai melalui libat urus berterusan kementerian bersama penilaian awal terperinci serta kajian Makmal Penilaian Nilai yang diketuai Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan penglibatan semua agensi Persekutuan dan Sarawak yang berkaitan.
“Semakan semula siling kos ini akan meningkatkan kapasiti penumpang, kecekapan operasi, standard keselamatan dan kemudahan lapangan terbang secara keseluruhan, termasuk pembesaran bangunan terminal, ruang parkir pesawat dan sistem pemprosesan penumpang,” ujarnya.
Beliau berkata, setelah siap, kapasiti Lapangan Terbang Miri akan meningkat daripada 2 juta penumpang setahun (MPPA) kepada 4 juta MPPA.
“Sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di Sarawak dan hab utama bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang kini dikendalikan AirBorneo, Lapangan Terbang Miri memainkan peranan penting dalam menghubungkan pusat bandar dengan kawasan luar bandar serta pedalaman di seluruh Sarawak dan Sabah.
“Kerajaan Sarawak kekal komited untuk terus menyokong Kerajaan Persekutuan dan semua agensi pelaksana bagi memastikan projek infrastruktur penerbangan strategik ini dilaksanakan dengan jayanya dan mengikut jadual,” katanya.


