KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengemukakan semula permohonan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk mengembalikan tiga laluan penerbangan domestik utama iaitu Kuching–Sibu, Kuching–Bintulu dan Kuching–Miri di bawah skim Public Service Obligation (PSO), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin.
Beliau berkata, laluan berkenaan sebelum ini pernah dikendalikan oleh MASwings sebelum sebahagiannya ditamatkan pada 2019.
Langkah pemulihan itu dibuat susulan permintaan berterusan daripada wakil rakyat serta orang awam yang terkesan dengan isu ketersambungan udara di negeri ini.
“Jadi sekarang, berikutan permintaan daripada beberapa YB serta orang awam, kementerian saya telah mengemukakan semula permohonan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk mengembalikan semula laluan Kuching–Sibu–Kuching, Kuching–Bintulu–Kuching dan Kuching–Miri–Kuching. Tiga laluan ini untuk diterbangkan oleh AirBorneo.
“Ini kerana di bawah perjanjian semasa iaitu Rural Air Service Public Service Obligation (RAS PSO), sebarang perubahan laluan perlu mendapat kelulusan awal daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (CAAM),” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
AirBorneo dijangka memulakan operasi laluan yang dirancang secara berperingkat bermula suku ketiga tahun ini, iaitu antara Julai hingga September, bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa penerbangan.
“AirBorneo masih baharu dan sedang melalui fasa pembelajaran. Kita akan terus memperbaiki operasi dan memperkukuh keupayaan sebelum berkembang sebagai syarikat penerbangan serantau,” katanya.
Beliau berkata, operasi syarikat penerbangan berkenaan juga tertakluk kepada Lesen Perkhidmatan Udara (ASP) serta kelulusan teknikal berkaitan jenis pesawat dan laluan yang dibenarkan.
Beliau menegaskan, pengoperasian AirBorneo tidak boleh dibuat secara serta-merta kerana industri penerbangan memerlukan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan peraturan antarabangsa.
“Ini bukan seperti operasi bas. Kita perlu lalui banyak proses kawal selia. Walaupun ada perancangan, semuanya perlu dibuat secara berfasa,” katanya.


