ARTIKEL

Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berucap mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom sempena SARICON 2026 edisi kedua. Foto: Ramidi Subari

Sarawak mula hasilkan benih padi sah tempatan menjelang 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak dijangka mula menghasilkan benih padi sah secara tempatan menjelang tahun 2027.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, seluas 144 hektar tanah Kerajaan Negeri telah diperuntukkan bagi pengeluaran benih, dengan dua buah syarikat sedang membangunkan ladang benih dan sebuah kemudahan pemprosesan kini hampir siap.

Beliau berkata, ujian terhadap pelbagai varieti padi mencatatkan hasil antara empat hingga 10 tan metrik bagi setiap hektar di bawah keadaan ujian, manakala penilaian bagi padi hibrid dan padi saka (perennial) masih dijalankan.

“Penyelidikan juga akan merangkumi pengurusan tanaman, pengautomasian dan teknologi pascatuai.

“Sementara itu, penanaman bukti konsep (proof-of-concept) yang melibatkan 12 buah syarikat telah menghasilkan kira-kira 2,500 tan metrik padi antara Januari hingga Jun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, sempena Persidangan Beras Sarawak (SARICON) 2026 edisi kedua di sebuah hotel di sini hari ini.

Persidangan itu disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Rundi dalam pada itu berkata, kementeriannya telah mengenal pasti dan membuat profil bagi 48 kawasan berpotensi merangkumi kira-kira 14,000 hektar yang sesuai untuk penanaman padi komersial berskala besar.

Katanya, kawasan ini yang dilengkapi sistem pengairan moden, perparitan dan kemudahan sokongan memerlukan peruntukan dana yang besar.

“Oleh itu, pembangunan akan dijalankan secara berperingkat, di mana dana sedia ada pada masa ini menyokong fasa awal bagi tujuh kawasan tanah Kerajaan Negeri merangkumi sekitar 2,000 hektar,” katanya.

Bagi menjamin pemilikan tanah untuk pengeluaran padi jangka panjang, beliau berkata, seluas 2,635 hektar tanah Kerajaan Negeri telah digazetkan untuk penanaman padi, manakala lebih banyak kawasan yang sesuai akan dikenal pasti kelak.

Katanya, pihaknya juga akan menaik taraf 12,000 hektar kawasan padi sedia ada, termasuk skim yang kurang dimanfaatkan, melalui pengurusan air yang lebih baik, pemodenan jentera (pemanduan jentera/mekanisasi) dan pengurusan ladang.

Sementara itu, Rundi berkata, kementeriannya sedang giat membuat persiapan bagi menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak yang diluluskan pada Mei lalu.

Menurut beliau, lembaga itu dijangka dapat menyediakan kepimpinan strategik, memperkukuh penyelarasan rantai nilai beras serta memacu pembangunan industri padi dan beras tempatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU