KUCHING: Sarawak optimis dapat mencapai sasaran ketibaan sejumlah empat juta pelawat menjelang akhir September atau pertengahan Oktober ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keyakinan itu susulan jumlah pelancong yang berkunjung ke negeri ini setakat Ogos lalu sudah mencapai sebanyak 3.3 juta orang.
“Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kita mendapati terdapat trend peningkatan berterusan dari sudut ketibaan pelancong, dan jumlahnya tidak menurun.
“Jadi kita mungkin tidak perlu menunggu sehingga Disember untuk mencapai sasaran empat juta pelancong. Setakat ini kita sudah berada di landasan terbaik untuk mencapai jumlah empat juta pelawat menjelang Oktober.
“Menjelang Disember depan, kita mungkin berpotensi mencapai sehingga lima juta ketibaan pelancong,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu peningkatan ketibaan pelancong tahun ini sebahagian besarnya disumbang oleh acara-acara besar yang dianjurkan di seluruh negeri khususnya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21.
“Pada bulan depan pula, akan lebih banyak acara seperti Sarawak Regata dan Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa, jadi saya nampak kedatangan pelancong akan terus meningkat sehingga akhir tahun ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, ketibaan pelawat ke Sarawak berjumlah sebanyak 3,289,357 berbanding 2,594,028 dalam tempoh yang sama tahun lepas, peningkatan sebanyak 26.8 peratus.
“Dari segi penerimaan resit perbelanjaan pelancongan bagi tempoh yang sama, kita mencatatkan sebanyak RM8,503,999,893.67 berbanding RM6,584,929,369.02 untuk tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Bagi Ogos sahaja, beliau berkata ketibaan pelancong berjumlah sehingga 450,785, berbanding 324,173 pada Ogos tahun lepas.
“Bagi resit perbelanjaan pelancong bulan Ogos, kita mencatatkan sebanyak RM1,173,845,453.69, berbanding RM818,338,780.79 pada bulan yang sama tahun lepas,” katanya.
Sementara itu, menurut maklumat yang dikongsi kementerian, lima negara teratas yang mencatatkan ketibaan pelancong ke negeri ini pada Ogos tahun ini, adalah dari Brunei, diikuti Indonesia, China, Singapura dan Filipina.


