Sarawak optimis ke separuh akhir Piala Cabaran

Skuad Liga Premier Sarawak yakin mampu ke separuh akhir Piala Cabaran 2019 apabila turun menentang JDT II di Kuching malam ini (Khamis).

Sarawak hanya perlu seri dalam aksi tersebut untuk layak.

Pengendali Sarawak, Mohamad Denny Da’ail percaya anak-anak buahnya boleh melepasi halangan malam ini.

“Kami mempunyai peluang yang baik. Namun ia bukan tugas mudah,” ujarnya.

Menurut Denny, mereka bakal turun tanpa tiga pemain utama ekoran masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Shreen Thamby sah tidak beraksi kerana ada hal keluarga. Hudson dan Aliff pula belum cergas dan masih dalam pemantauan,” katanya.

Namun Denny tetap yakin dengan keupayaan pemain yang ada. Sarawak kini berada di tangga ketiga Kumpulan A di belakang Kelantan atas dasar perbezaan gol.

Sarawak hanya perlu seri untuk memintas Kelantan.

Di atas kertas Sarawak mempunyai peluang yang baik kerana pernah dua kali seri dengan JDT II dalam aksi Liga Premier.

Namun Sarawak kalah 3-1 dalam aksi Piala Cabaran di Pasir Gudang baru-baru ini.

JDT sudah pun mengesahkan slot separuh akhir.

Musim lalu menyaksikan Sarawak tersingkir awal dalam kejohanan tersebut.

Suara Sarawak