Sarawak pakar gol pantas

PEMAIN Sarawak United FC (SUFC), Gopi Rizki melakukan jaringan terpantas Liga Malaysia 2021 setakat ini, pada saat ke-31 ketika menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Premier 2021 di Stadium Paroi Sabtu lalu.

Namun jaringan tersebut gagal memberikan kemenangan kepada SUFC apabila N. Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-62 melalui pemain import Akono.

Yang pasti, pasukan Sarawak mempunyai kepakaran menjaringkan gol terpantas. Pemain import, Junior Eldstal pernah melakukan jaringan pada saat ke-29.

Begitu juga dengan Safri Amit (kini penolong jurulatih SUFC), pernah menjaringkan gol pada saat ke-29 ketika menentang pasukan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, rekod penjaring terpantas masih lagi dipegang oleh penyerang skuad Ngap Sayot, Pengiran Bala, yang menjaringkan gol pada saat ke-11 ketika Sarawak mengalahkan Pahang 2-0 pada 1989.

Sementara itu, jurulatih SUFC, E. Elavarasan berharap anak-anak buahnya tidak lagi kehilangan mata dalam perlawanan akan datang.

Beliau agar kurang berpuas hati dengan keputusan seri.

“Kita sepatutnya boleh menang, namun sedikit kelekaan di bahagian pertahanan mengundang padah,” ujarnya.

“Ketika kita berusaha menambah gol, pihak lawan pula memanfaatkan peluang.

“Namun secara keseluruhanya pemain pertahanan kita telah menunjukkan aksi yang baik,” ujarnya.

SUFC akan menentang JDT II di Stadium Hang Jebat Sabtu ini (1 Mei).

Suara Sarawak