ARTIKEL

BERUCAP... Abang Johari ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersempena Dengan Atlantic Council Millenium Leadership Program Study Tour, malam tadi. (FOTO: JAPEN)

Sarawak pandang serius isu peningkatan suhu global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak memandang serius isu peningkatan suhu global, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau menyatakan bahawa negeri ini berusaha menangani isu tersebut dengan langkah berani menumpukan kepada tenaga hijau.

“Pada Januari lalu, suhu global telah meningkat 1.75 darjah Celsius, lebih tinggi daripada tahap praindustri. Ini juga melepasi had 1.5 darjah Celsius yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris,” katanya.

TERIMA KASIH… Abang Johari menerima cenderamata daripada Jonah (dua kanan) dalam majlis tersebut. (FOTO: JAPEN)

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersempena Dengan Atlantic Council Millenium Leadership Program Study Tour di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa karbon adalah punca utama daripada sektor tenaga, di mana bahan api fosil mendominasi hampir setiap aspek kehidupan manusia.

“Sebagai respons, Sarawak Energy memberi tumpuan kepada hidrogen. Para saintis menyatakan bahawa tenaga yang paling bersih adalah hidrogen, dan Sarawak berani mengambil risiko untuk menghasilkannya walaupun kosnya agak tinggi.

“Namun, kita mempunyai sumber air yang banyak dari empangan serta simpanan metana yang terdiri daripada hidrogen dan karbon. Paling penting adalah teknologi yang tersedia dengan kos berpatutan untuk membolehkan kita menghasilkan hidrogen secara efektif,” jelasnya.

Beliau juga percaya bahawa kos penghasilan hidrogen akan semakin murah, seiring dengan perkembangan digitalisasi dan pengurangan kos komputer.

“Jika teknologi boleh diperbaharui menjadi lebih murah, maka kos pengeluaran tenaga alternatif juga akan lebih rendah. Sekiranya teknologi ini semakin mampu milik, penghasilan tenaga boleh diperbaharui akan menjadi lebih berdaya saing, membantu mengurangkan pelepasan karbon,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta Pengarah Kanan Atlantic Council Millenium Leadership Jonah Chaim Fisher.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU