ARTIKEL

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mendengar taklimat daripada Timbalan Datuk Bandar Daerah I, Fodor Artur mengenai strategi pengurusan kawasan bersejarah Daerah Istana Buda. Foto UKAS.

Sarawak Pelajari Model Bandar Bersejarah Hungary

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BUDAPEST: Sarawak meneliti pendekatan bandar bersejarah di Hungary dalam usaha memperkukuh pemuliharaan warisan dan memperkasa pembangunan bandar mampan, khususnya di kawasan sempadan negeri.

Usaha itu diterjemahkan menerusi lawatan kerja rasmi delegasi Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ke Fisherman’s Bastion di sini, sebagai sebahagian daripada Program Pertukaran Kolaboratif Bandar Sempadan melibatkan misi kajian ke Hungary dan Austria.

Lawatan berkenaan memberi fokus kepada aspek perancangan bandar, pengurusan warisan serta pembangunan pelancongan yang mengekalkan identiti setempat.

Delegasi terbabit disambut oleh pihak Pejabat Datuk Bandar Daerah I (Budavár) sebelum diberikan taklimat oleh Timbalan Datuk Bandar Daerah I, Fodor Artur bersama-sama pegawai berkaitan strategi pengurusan kawasan bersejarah Daerah Istana Buda.

Antara perkara yang diketengahkan termasuklah rangka kerja pemuliharaan warisan, pengurusan pelancongan serta pendekatan pembangunan bandar yang mengimbangi pemeliharaan nilai sejarah dengan keperluan ekonomi semasa.

Sepanjang lawatan, delegasi turut didedahkan kepada model pembangunan bersepadu yang dilaksanakan Budapest dalam mengekalkan keaslian seni bina dan warisan budaya sambil menjadikan aset tersebut sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serta tarikan pelancongan.

Perbincangan juga menyentuh kepentingan tadbir urus berkesan, kerjasama pelbagai pihak dan pengurusan ruang awam yang berkualiti bagi memastikan kawasan bersejarah terus relevan dan lestari.

Selain menjadi tarikan pelancongan budaya, mercu tanda warisan dilihat memainkan peranan penting dalam membentuk identiti bandar serta mewujudkan persekitaran yang lebih mesra pejalan kaki dan berkualiti untuk komuniti setempat.

Pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh sepanjang lawatan dijangka menyokong pelaksanaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 yang memberi penekanan pemanfaatan aset budaya, sejarah dan alam semula jadi sebagai pemacu pembangunan ekonomi mampan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU