KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu warga kejuruteraan serantau untuk menjadikan negeri ini sebagai medan bagi menguji idea, penyelidikan dan teknologi baharu.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak bersedia menyediakan platform dan menjadi rakan strategik dalam pembangunan modal insan, penyelidikan serta pelaburan baharu.
“Kepada rakan-rakan dalam FEIAP, Sarawak menawarkan lebih daripada sekadar tempat untuk mengadakan pertemuan.
Sarawak boleh menjadi medan untuk menguji idea-idea baharu dalam keadaan sebenar.
“Mari kita mulakan dengan langkah praktikal, satu cabaran, satu perkongsian dan satu projek perintis untuk dikembangkan bersama.
“Kita kenal pasti cabaran kejuruteraan sebenar, gabungkan institusi, universiti dan industri dari seluruh ahli FEIAP, kemudian kita uji penyelesaian yang boleh diukur, ditambah baik serta direplikasi di tempat lain. Sarawak sedia meneroka kerjasama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa keberkesanan sesuatu dasar atau undang-undang berkaitan alam sekitar tidak akan mencapai matlamat pengurangan pelepasan karbon secara automatik tanpa pelibatan kepakaran sains kejuruteraan.
Katanya, golongan jurutera memainkan peranan kritikal dalam menterjemahkan dasar kerajaan kepada hasil konkrit menerusi reka bentuk yang lebih baik, kecekapan tenaga, penggunaan tenaga bersih dan pelaksanaan berimpak tinggi.
Sehubungan itu, kedudukan strategik Sarawak mampu menjadi hab penghubung kepakaran teknikal serta ilmu pengetahuan bagi menyokong aspirasi pembangunan mampan di rantau ASEAN dan Asia Pasifik.
Beliau turut menyeru institusi kejuruteraan antarabangsa agar tidak hanya membawa penyelesaian sedia ada, sebaliknya bekerjasama dengan tenaga pakar tempatan untuk mereka bentuk formulasi baharu mengikut situasi sebenar di lapangan.


