ARTIKEL

Abang Johari dan Saarani merakam kenangan selepas Majlis Makan Malam Rasmi sempena lawatan kerja Menteri Besar Perak ke Sarawak.

Sarawak-Perak perluas kerjasama pembangunan, pengurusan sempadan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak dan Perak memperluas jalinan kerjasama strategik menerusi perkongsian pengalaman serta pertukaran pandangan dalam pelbagai aspek pembangunan dan pentadbiran negeri.

Hubungan erat itu terus diperkukuh menerusi Majlis Makan Malam Rasmi sempena lawatan kerja Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ke Sarawak yang berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Satria Pertiwi, malam tadi.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkesempatan menyantuni Saarani bersama-sama delegasinya dalam suasana penuh muhibah dan persahabatan.

Abang Johari dan Saarani beramah mesra pada Majlis Makan Malam Rasmi sempena lawatan kerja Menteri Besar Perak ke Sarawak.

Terdahulu, Saarani yang mengetuai rombongan kerajaan negeri Perak mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari sebelum menghadiri majlis makan malam berkenaan.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan berkaitan pembangunan negeri, keselamatan, pengurusan sempadan serta potensi kerjasama strategik yang boleh diteroka demi manfaat bersama.

Lawatan kerja Saarani ke Sarawak yang berlangsung dari 9 hingga 11 Ogos memberi tumpuan kepada perkongsian pengalaman dalam aspek pembangunan infrastruktur, pengurusan sempadan dan pentadbiran kerajaan, selain memperkukuh hubungan di antara kedua-dua negeri.

Sepanjang lawatan itu, beliau turut meninjau beberapa projek pembangunan utama di Sarawak termasuk tapak Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin.

Lawatan itu dilihat penting sebagai rujukan kepada pembangunan Kompleks ICQS Bukit Berapit di Pengkalan Hulu, Perak yang dicadangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Selain itu, rombongan turut diberikan taklimat pengurusan sempadan dan imigresen di Sarawak serta berpeluang meninjau beberapa lokasi penting di sekitar bandar raya Kuching.

Saarani turut meneruskan agenda lawatan dengan mengunjungi Muzium Budaya Borneo sebelum mengakhiri lawatan kerja rasminya ke Sarawak.

Perkongsian pengalaman dan amalan terbaik antara kedua-dua negeri itu diharap dapat membantu memperkukuh keupayaan pentadbiran, keselamatan sempadan serta pelaksanaan pembangunan infrastruktur pada masa hadapan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta tetamu kehormat yang lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU