KUCHING: Sarawak mempercepat peralihan ke arah ekonomi rendah karbon menerusi pelancaran Laporan Penilaian Institusi Perubahan Iklim Subnasional Malaysia (CCIA) yang menilai secara komprehensif landskap institusi Sarawak dan Sabah dalam mengurus perubahan iklim.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, laporan CCIA menandakan komitmen Sarawak untuk menerajui agenda iklim di peringkat subnasional.
“Ia menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan institusi negeri terhadap tindakan iklim serta pertumbuhan ekonomi hijau.


“Tindakan iklim bukan sekadar mengenai sasaran dan teknologi, tetapi berkaitan dengan pembinaan institusi yang kukuh, terselaras dan bersedia menghadapi masa depan.
“Dengan laporan CCIA ini, Sarawak memperkukuh kerangka tadbir urus bagi memastikan dasar iklim dilaksanakan secara berkesan dan selari dengan strategi ekonomi jangka panjang negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran laporan CCIA bertajuk Mengimbangi Inovasi dan Penyelarasan: Penyelesaian Institusi bagi Tindakan Iklim Berkesan di Negeri-Negeri Borneo Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan iklim dan daya tahan ekonomi perlu digerakkan seiring bagi menjamin pertumbuhan mampan, keyakinan pelabur serta kemakmuran jangka panjang rakyat Sarawak.
“Inisiatif kerjasama antara Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) dengan Majlis Tindakan Iklim Sabah dan Bank Dunia mencerminkan pendekatan proaktif negeri dalam menyelaraskan dasar, tadbir urus serta kerangka pelaksanaan bagi menangani risiko perubahan iklim sambil memacu pembangunan mampan.
“Laporan CCIA peringkat subnasional ini menyediakan penilaian komprehensif terhadap landskap institusi Sarawak dan Sabah dalam mengurus perubahan iklim.
“Ia termasuk struktur tadbir urus, rangka kerja peraturan, penyelarasan antara agensi, mekanisme pembiayaan serta pembangunan kapasiti.
“Laporan ini turut menggariskan cadangan strategik bagi meningkatkan keberkesanan institusi, memperkukuh keselarasan dasar dan mempercepat peralihan ke arah ekonomi rendah karbon serta berdaya tahan terhadap perubahan iklim,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata komitmen politik yang kukuh Sarawak terhadap kelestarian serta kepimpinan dalam tenaga boleh baharu meletakkan negeri itu sebagai penyumbang penting kepada agenda iklim Malaysia dan pemimpin serantau yang sedang meningkat.
“Walaupun cita-cita itu penting, institusi yang kukuhlah yang memastikan hasil sebenar dapat dicapai,” katanya.
Majlis pelancaran tersebut menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, rakan pembangunan, ahli akademik serta wakil masyarakat sivil yang mencerminkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat dalam tadbir urus iklim.
Kajian tersebut dilaksanakan dalam tempoh dua tahun melalui pelibatan lebih 150 pegawai daripada kementerian dan agensi berkaitan iklim di Sarawak dan Sabah.
Laporan CCIA itu membolehkan pemahaman mendalam terhadap cabaran tadbir urus dan pelaksanaan yang dihadapi dalam merealisasikan tindakan iklim di lapangan.
Laporan tersebut dijangka menjadi dokumen rujukan utama dalam memperkukuh institusi iklim negeri Sarawak serta menyokong aspirasi iklim dan kelestarian.
Ia sekali gus meletakkan Sarawak di barisan hadapan tadbir urus iklim subnasional di rantau ini, memacu inovasi di peringkat negeri sambil menyumbang secara bermakna kepada matlamat iklim nasional Malaysia.
Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.


