ARTIKEL

Razi menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian 2026 di Rumah Panjang Daha Kisau, Tebedu, hari ini.

Sarawak perhebat bantuan kebajikan rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menyalurkan sejumlah RM75.58 juta bagi 56,295 kes bantuan bulanan di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, daripada keseluruhan bantuan tersebut, sebanyak 9,252 kes melibatkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM8,910,726, manakala 47,043 kes lagi bantuan persekutuan dengan jumlah RM66,665,450.

“Jumlah tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluaskan jaringan perlindungan sosial dan kebajikan rakyat.

“Rekod ini jelas menunjukkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa kesejahteraan komuniti serta memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian 2026 di Rumah Panjang Daha Kisau, Tebedu, hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, bantuan warga emas mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 22,515 kes dengan peruntukan berjumlah RM39,629,400, manakala bantuan kanak-kanak melibatkan 5,987 kes dengan peruntukan RM7,665,900 dengan pertambahan RM981,100.

“Selain itu, bantuan am sebanyak 9,246 kes berjumlah RM6,194,050, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) merekodkan 3,513 kes dengan peruntukan RM4,351,400, manakala bantuan penjagaan OKU atau pesakit kronik terlantar melibatkan 2,914 kes berjumlah RM4,246,500.

“Bantuan OKU tidak berupaya bekerja pula mencatatkan 12,069 kes dengan jumlah RM10,730,000 serta tambahan RM1,733,976 daripada kerajaan negeri,” ujarnya.

Tambahnya, bantuan anak pelihara pula melibatkan 45 kes berjumlah RM42,250 serta bantuan belia-beliawanis sebanyak enam kes dengan peruntukan RM1,600.

Bagi Bahagian Serian, beliau berkata setakat April 2026, sebanyak 2,806 bantuan disalurkan dengan jumlah peruntukan RM1,192,750 melibatkan pelbagai skim bantuan.

Sementara mengulas mengenai majlis tersebut, beliau berkata ia merupakan platform penting dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan sempena musim perayaan.

“Bagi tahun ini, seramai 2,126 penerima bantuan diraikan, dengan 100 penerima hadir menerima sumbangan wang tunai RM100 serta hamper bernilai RM80, manakala selebihnya menerima bantuan melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing.

“Inisiatif tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan penerima, malah mengeratkan hubungan antara agensi dan masyarakat serta mencerminkan semangat kebersamaan dalam meraikan Hari Gawai,” jelasnya.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan simbolik beberapa inisiatif kerajaan termasuk dua penerima Kad OKU, dua penerima Kenyalang Gold Card, seorang penerima Bantuan Ihsan Kematian, dua penerima manfaat kesihatan warga emas, seorang rakan strategik KGC, dua penerima bantuan sekolah serta seorang penerima kerusi roda.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU