ARTIKEL

Hii Chang Kee (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Media Cetak, Publisiti, Penyiaran dan Kewartawanan 1/2026 di Ibu Pejabat UKAS. Turut kelihatan Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.

Sarawak perhebat promosi menjelang Sukan SEA 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memperkukuh strategi komunikasi, publisiti dan penyiaran sebagai persediaan menjayakan Sukan SEA Ke-34 pada September 2027.

Persediaan itu termasuk menggerakkan pelbagai inisiatif promosi lebih awal bagi meningkatkan kesedaran serta keterujaan rakyat terhadap temasya sukan dwitahunan tersebut.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Media Cetak, Publisiti, Penyiaran dan Kewartawanan 1/2026 yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Tempatan (LOC) Sarawak, Datu Hii Chang Kee, di Ibu Pejabat UKAS, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, ahli-ahli jawatankuasa serta wakil agensi berkaitan.

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada peranan UKAS dalam merangka pelan komunikasi yang komprehensif bagi Kluster Sarawak sepanjang penganjuran Sukan SEA 2027.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah penyediaan Terma Rujukan (TOR) jawatankuasa, pembangunan Pelan Induk Komunikasi, strategi bersepadu media, publisiti dan penyiaran, selain memperkukuh kerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027.

Jawatankuasa itu turut dimaklumkan bahawa konsortium penyiaran dijangka dimuktamadkan menerusi bengkel khas yang akan diadakan dari 5 hingga 7 Ogos ini bagi membolehkan pelaksanaan pelan penyiaran yang lebih tersusun.

Dalam aspek penyiaran, TVS dijangka mengendalikan siaran secara langsung dan rakaman sepanjang temasya berlangsung sebelum kandungan berkenaan disalurkan ke Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) di Kuala Lumpur.

Sementara itu, UKAS akan bertanggungjawab menubuhkan Pusat Media bagi Kluster Sarawak di IBC, dengan pembinaannya disasarkan siap sebelum April tahun depan.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan orang ramai, UKAS turut merancang pelbagai inisiatif promosi, termasuk program kira detik setahun menjelang Sukan SEA 2027 yang dijadual berlangsung pada 18 September 2026.

Kempen promosi itu akan diperkukuh menerusi siri jelajah ke seluruh Sarawak bermula Januari 2027, bermula di Limbang sebelum berakhir di Kuching.

Selain itu, Larian Obor Sukan SEA akan diadakan merentasi kesemua 12 bahagian di Sarawak, disokong pelbagai aktiviti promosi seperti kuiz, jelajah, kempen media tradisional dan digital, perkongsian kisah inspirasi bekas atlet, penerbitan kandungan khas serta penerbitan buku meja kopi bagi memperkukuh penjenamaan temasya berkenaan.

Bagi memastikan kelancaran operasi media sepanjang temasya berlangsung, jawatankuasa turut membincangkan keperluan menilai kemudahan di kesemua 18 venue pertandingan, termasuk lokasi Pusat Media, penyediaan latar belakang sidang media yang seragam dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), serta kemudahan penyiaran di setiap venue.

Sementara itu, Norismadi Abd Manap menekankan agar publisiti dimulakan lebih awal bagi meningkatkan keterlihatan temasya tersebut.

“Perkhidmatan media dan penyiaran yang bakal disediakan perlu memenuhi standard profesional setanding temasya sukan antarabangsa bagi memberikan liputan terbaik kepada semua atlet dan peminat sukan,” katanya.

Untuk rekod, Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi 18 daripada 43 acara sukan yang dipertandingkan pada Sukan SEA Ke-34, termasuk majlis pembukaan temasya. Kuala Lumpur pula akan menjadi tuan rumah bagi 18 acara sukan, Pulau Pinang enam acara, manakala Johor menjadi tuan rumah bagi satu acara.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira