DALAT: Sarawak kini mempunyai model kecerdasan buatan (AI), DeepSAR yang berkebolehan melakukan sistem terjemahan automatik, direka khusus menggabungkan dan memproses data tempatan bagi memudahkan komunikasi digital dengan masyarakat dunia.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, model itu dibangunkan oleh syarikat teknologi kerajaan negeri, Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) selepas beliau mencadangkan sebuah platform AI khusus untuk memaparkan kandungan unik tempatan kepada dunia.
“Apabila melihat negara China mengeluarkan DeepSeek, sebuah model kecerdasan buatan generatif yang mempunyai keupayaan menjawab soalan secara serentak dan segera.
“Saya kemudian meminta pihak SAINS untuk membangunkan DeepSAR yang bermaksud DeepSarawak, dengan keupayaan melakukan terjemahan bahasa kita secara terus.
“Maka hari ini, SAINS sudah dapat membangunkannya. Secara automatik bahasa Mandarin dapat diterjemahkan ke bahasa Melanau, begitu juga bahasa Inggeris dengan bahasa Iban. Jadi kita sudah mengeluarkan juga dan namanya DeepSAR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat, di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan DeepSAR yang menghimpunkan bahasa tempatan ini akan memberi manfaat besar kepada sektor pelancongan kerana ia berfungsi seperti aplikasi terjemahan yang digunakan pelancong ketika berada di destinasi yang mereka tidak fasih bahasanya.
“Kalau pergi ke Perancis, kita tidak faham bahasa mereka. Jadi kita akan muat turun aplikasi untuk terjemahan.
“Begitu juga di Sarawak. Pelancong boleh terjemah bahasa kita secara terus dengan teknologi yang SAINS bangunkan,” ujarnya.
Jelasnya, industri teknologi maklumat (IT) kini bergerak pantas melalui platform AI seperti ChatGPT, yang boleh menjawab apa sahaja soalan secara automatik, maka DeepSAR pula dibangunkan bagi menyesuaikan teknologi tersebut dengan bahasa dan kandungan tempatan.
“Inilah yang disebut sebagai ekonomi baharu. Semua berpunca daripada IT. AI hari ini adalah sebahagian daripada IT dan ia merupakan alat untuk mempercepatkan pencarian jawapan.
“Namun harus diingatkan bahawa AI juga mempunyai risiko jika disalahgunakan, termasuk penyebaran kandungan palsu untuk memburukkan orang lain,” tegasnya.
Untuk rekod, pada Februari lalu Abang Johari berkata Sarawak berhasrat membangunkan model AI sendiri yang dinamakan DeepSAR bagi memaparkan kandungan unik tentang negeri ini dan sebagai platform interaksi global.
Ujarnya, impian tersebut inspirasi daripada kejayaan seorang jurutera muda dari China, Liang Wenfeng, pencipta model AI dipanggil DeepSeek yang mampu menyaingi model AI yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.


