KUCHING: Sarawak terus meneroka penggunaan teknologi hijau dalam sektor pengangkutan air menerusi pengenalan bot berkuasa elektrik (E-Bot) bagi menyokong operasi keselamatan empangan dan pemantauan alam sekitar di Batang Ai.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pembangunan bot berkuasa elektrik itu juga selaras dengan komitmen Sarawak dengan tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, inisiatif berkenaan juga menunjukkan bagaimana tenaga bersih dapat diterapkan dalam aplikasi pengangkutan yang praktikal.

“Pengenalan E-Bot merupakan satu lagi perkembangan yang menggalakkan dalam usaha Sarawak menuju ke arah pengangkutan air yang lebih mesra alam.
“Walaupun bot tersebut pada masa ini dikhususkan untuk tujuan operasi tertentu di Batang Ai, pengalaman yang diperoleh dapat membantu menilai kebolehlaksanaan penggunaan bot elektrik bagi aplikasi lain yang bersesuaian pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Bot dan Permit Pengangkutan Sungai (RTP) bagi E-Bot Sarawak Energy Berhad (SEB), di Pangkalan Sapi, di sini, hari ini.
Tambahnya, faktor seperti jarak operasi, kemudahan pengecasan, keadaan sungai, keselamatan penumpang dan keberkesanan kos perlu dinilai dengan teliti sebelum penggunaan teknologi ini diperluas.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, E-Bot sepanjang 10 meter ini dilengkapi dua motor elektrik berkuasa 40 kW setiap satu, sistem bateri berkapasiti 92 kWh dan panel solar atas bumbung berkapasiti 3.6 kWp.
Menurutnya, bot berkenaan mempunyai jarak operasi dianggarkan antara 40 hingga 50 kilometer, dengan tempoh operasi kira-kira tiga hingga empat jam.
“E-Bot ini akan ditempatkan di Empangan Batang Ai bagi menyokong pemeriksaan keselamatan empangan, pemantauan alam sekitar, pengangkutan kakitangan dan lawatan ke ladang solar terapung.
“Panel solar membantu menambah cas bateri semasa operasi, manakala bateri juga boleh dicas semula menggunakan bekalan elektrik daripada grid dan E-Bot ini tidak menghasilkan pelepasan ekzos secara langsung serta mengurangkan kebergantungan bahan api marin konvensional,” jelasnya.
Terdahulu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Sarawak Energy Berhad atas inisiatif membangunkan bot berkuasa elektrik yang dibantu tenaga solar sebagai sebahagian daripada peralihan Sarawak ke arah sistem pengangkutan yang lebih bersih dan mampan.
Pada masa sama, beliau turut menghargai usaha Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) atas kerjasama dalam memudahkan pengeluaran Lesen Bot dan RTP.




