KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak akan bekerjasama dengan Bursa Malaysia, bank pelaburan dan penasihat bagi membantu lebih banyak syarikat tempatan mendapatkan akses kepada modal pertumbuhan.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha itu bertujuan memperkukuh keupayaan korporat syarikat melalui penambahbaikan tadbir urus, pelaporan kewangan dan perancangan perniagaan.
Beliau merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menambah, pasaran modal memainkan peranan penting dalam membantu syarikat mendapatkan pembiayaan lebih baik apabila perniagaan berkembang.
“Ketika ini, sebanyak 37 syarikat Sarawak disenaraikan di Bursa Malaysia dengan jumlah permodalan pasaran sekitar RM24 bilion.
“Sejak 2024, lima syarikat berkaitan Sarawak berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dan mengumpul dana berjumlah RM307.4 juta, sekali gus mencerminkan peranan pasaran modal yang semakin penting dalam menyokong pembangunan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, di bawah Kerangka Bumiputera Sarawak 3-7-20, kerajaan menyasarkan tiga syarikat bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia.
Manakala, tujuh syarikat bumiputera menjadi Juara Perniagaan Serantau serta 20 peratus perusahaan mikro bumiputera beralih kepada syarikat sendirian berhad menjelang 2030.
“Dalam pada itu, sembilan syarikat bumiputera Sarawak dikenal pasti mempunyai potensi untuk disenaraikan, manakala United Asiapac Energy Berhad mencapai pencapaian penting menerusi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 September 2026,” ringkasnya.
Selain itu, sebanyak 22 syarikat berprestasi tinggi dengan perolehan tahunan melebihi RM10 juta dikenal pasti untuk dibangunkan dari segi keupayaan perniagaan, peluasan pasaran dan penyertaan dalam industri bernilai tinggi.
“Kerajaan akan memberi perhatian khusus kepada pembangunan perusahaan bumiputera yang berdaya saing, termasuk membantu lebih banyak perniagaan berkembang melangkaui operasi berskala mikro dan kecil ke industri bernilai tinggi serta pasaran serantau,” katanya.
Dalam pada itu, Awang Tengah memberitahu kerajaan akan memperkukuh laluan pertumbuhan perusahaan melalui pendekatan memulakan, memperkukuh, mengembangkan, membekalkan dan menembusi pasaran antarabangsa, dengan sokongan akses pembiayaan, teknologi, pensijilan, pasaran serta rantaian bekalan strategik.




