KUCHING: Sarawak merekodkan kira-kira RM11.2 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor primer, pembuatan dan perkhidmatan pada separuh pertama 2026, dengan pelaburan domestik menyumbang 61 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaburan itu turut merangkumi peluasan operasi dan pelaburan semula oleh beberapa pelabur asing sedia ada, mencerminkan keyakinan berterusan potensi ekonomi negeri ini.
“Jumlah berkenaan meneruskan momentum pelaburan Sarawak yang merekodkan RM116.8 bilion pelaburan diluluskan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
“Dalam sektor pembuatan, sebanyak 62 peratus daripada projek yang diluluskan kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan, dengan kerajaan negeri memberi tumpuan untuk memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, Kajian Dasar Pelaburan Sarawak yang komprehensif disiapkan bagi menetapkan hala tuju pelaburan jangka panjang negeri.
Jelasnya, kajian itu menyediakan kerangka strategik untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, mempelbagaikan asas perindustrian, memperkukuh penyertaan syarikat tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran.
Menerusi kajian berkenaan, empat kelompok pertumbuhan utama dikenal pasti iaitu tenaga bersih, petrokimia, industri termaju serta pelancongan dan perkhidmatan dengan potensi pelaburan antara RM275 bilion hingga RM330 bilion serta pewujudan 254,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan memberitahu, bagi menghubungkan syarikat tempatan dengan peluang pelaburan yang tersedia, kerajaan negeri membangunkan jaringan perniagaan menerusi Program Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak 2026 di Kuching, selain mengadakan sesi libat urus di Shanghai, Seoul, London dan Munich.
“Usaha itu akan dipergiat pada 2027 bagi meluaskan akses pasaran, membina kerjasama perniagaan dan meningkatkan daya saing syarikat tempatan.
“Ini termasuk melalui pengukuhan hubungan dengan pembekal, kerjasama teknologi serta akses kepada rantaian bekalan serantau dan global,” jelasnya.
Dalam pembangunan perindustrian, Sarawak akan terus memperkukuh sektor pembuatan termaju dan industri bernilai tinggi, termasuk minyak dan gas, petrokimia, semikonduktor, elektrik dan elektronik serta kejuruteraan jitu, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).



